UMNO Parti Islam ?
12:08 | Author: ::. Wan Yaakub Wan Abdullah .::
1. Ketika ditanya komen Dewan Pemuda PAS Pusat [ DPPP ] oleh wartawan mengenai kenyataan Datuk Seri Najib bahawa UMNO adalah parti Islam , spontan disambut dengan ketawa kecil oleh EXCO DPPP lantas dijawab oleh Al Fadhil Ustaz Azman Syafawi Abd Rani [ Timbalan Ketua DPPP ] : " Sila buktikan ! "

2. Semua orang rasa lucu apabila Najib mengumumkan bahawa UMNO adalah parti Islam .

3. Dulu Dr. Mahathir pernah isytihar Malaysia Negara Islam demikian juga Abdullah Badawi dan menantunya Khairy turut menyokong dan mengisytiharkan Malaysia adalah Negara Islam .

4. Terdahulu saya telah mencabar Khairy berdebat dalam isu Malaysia Negara Islam tetapi malang tidak bersambut . Kali ini najib pula isytihar UMNO adalah parti Islam . Tapi kali ini malas dah rasanya nak ajak mereka ni berdebat . Jawapannya sudah pasti .... akan hilang telan masa begitu sahaja .

5. Bukanlah saya takut kerana yang mengisytiharkannya kali ini ialah Perdana Menteri Najib sendiri . Andai mereka mencabar , insyaallah sebut sahaja dimana tempat dan bila tarikhnya DPPP bersedia untuk berhujjah .

6. Mudahnya hujjah bagi menjelaskan bahawa UMNO adalah parti kebangsaan bukan parti Islam . UMNO parti yang mengamalkan faham sekularisme bukan menganut faham Islam . Terlalu banyak hujjah yang boleh disenaraikan , cuma saya nak lihat 10 bukti dan hujjah dari pihak UMNO terlebih dahulu , apakah yang meletakkan UMNO tidak segan silu untuk turut mengaku sebagai sebuah parti Islam .

7. Balai disebut balai Islam apabila Balai itu berorientasikan Islam . Pusat Islam juga disandarkan kepada Islam apabila Pusat itu mengendalikan hal ehwal Islam . University Islam kerana fakulti dan kuliahnya juga berteraskan Islam . Orang Islam kerana orang itu hidup berpaksikan ajaran Islam . Maka demikianlah parti , jika mahu disandarkan kepada Islam untuk menjadi parti Islam maka mestilah dasar perjuangan parti itu berasaskan Islam .

8. Mudahnya , kalau benar dan serius UMNO mahu menjadi parti Islam , maka UMNO mesti terlebih dahulu menukar dasar dan prinsip perjuangan mereka dari kebangsaan kepada Islam . Jadikan al Quran dan Sunnah sebagai pegangan dan sumber rujuk tertinggi dalam parti itu . Amalkan gaya hidup Islam dengan mengamalkan suruhan agama dan tegakkan syiarnya seperti menutup aurat , berlaku adil , tidak rasuah , tidak zalim dan sebagainya .

9. Saya sangat mengharapkan agar UMNO menjadi sebuah parti yang mengamalkan dan memperjuangkan Islam bukan merosakkan Islam dan meruntuhkan syiarnya . Setakat mendakwa UMNO adalah parti Islam sedang kedudukan UMNO dengan Islam terlalu jauh maka ia adalah satu penipuan dan pengkhianatan terhadap ummah khasnya ahli - ahli UMNO sendiri .

10. UMNO boleh berubah apabila mereka selalu menyebut bahawa ahli mereka orang melayu dan mereka kononnya memperjuangkan melayu . Kerana kebetulannya melayu adalah beragama Islam . Tinggal lagi UMNO mesti menghentikan slogan perkauman dan perjuangan berasaskan melayu semata - mata sebaliknya membawa Islam dan prinsip perjuangannya yang tentunya tidaklah asing dengan orang melayu . Kenapa susah sangat UMNO nak menerima Islam sebagai dasar perjuangan mereka ? kalau mereka sudah bersedia untuk mendakwa dan mengisytiharkan UMNO sebagai parti islam selayaknya mereka juga mesti bersedia untuk menukar dasar dan prinsip perjuangan mereka kepada Islam .... ada berani ke ?


sumber: http://episodeperjuangan.blogspot.com/
Seruan Ramadhan: Biarkan al Quran Menyentuh Jiwa Mu
12:48 | Author: ::. Wan Yaakub Wan Abdullah .::
Sejarah menyaksikan bagaimana generasi sahabat yang mendapat sentuhan keimanan dari Rasulullah SAW benar-benar tersentuh dengan al Quran. Kata Hassan Al Banna bagi mereka al Quran umpama arus elektrik, semakin sensitif jiwa mereka semakin terasa sentuhan al Quran.

Hati mereka benar-benar tersentuh sehingga tidak ada sesuatu yang membatasi antara keduanya. Hati mereka berhubungan dengan arus tersebut, menyerapnya, kemudian memancarkan cahayanya, bergerak dengan gerakannya, terpengaruh oleh daya pengaruhnya. Semua ini dihidupkan dan dimunculkan oleh arus tersebut, digerakkan oleh tenaga iman sehingga melahirkan amal dan kesungguhan.” (As Syahid Hassan Al Banna)

Ada sahabat yang menggeletar dan ada yang jatuh pengsan bahkan ada yang rebah dan terus meninggal dunia apabila mendengar ayat-ayat al Quran.

Saidina Umar RA ketika menjadi Khalifah pernah pada suatu malam keluar mengintai keadaan umatnya. Ketika sampai disebuah rumah dia lalu terdengar bacaan al Quran surah at Thur. Ketika sampai ayat yang ke 7 dan 8: “Sesungguhnya azab Tuhanmu pasti terjadi. Tidak seorangpun yang dapat menolaknya”, ketika itu dia berkata, ini memang janji yang benar lalu dia terus rebah dan pengsan. Saidina Aslam yang bersamanya lalu menggendongnya pulang. Saidina Umar RA selepas itu sakit selama sebulan.

Pernah diriwayatkan bagaimana Abu Aufa membaca firman Allah SWT “Maka waktu itu adalah waktu (datangnya) hari yang sulit; bagi orang-orang kafir tidak mudah.” (al Mudatsir:9-10), ia jatuh dari mihrabnya dan terus meninggal dunia.

Begitulah peranan dan sentuhan al quran pada umat pertama hingga mengolah sejarah yang penuh dengan keajaiban. Sejarah yang diwarnai dengan warna-warna keimanan sedangkan segala janji dan ancaman Allah adalah wangiannya. Dengan celupan Robbani inilah terbinanya jiwa-jiwa mereka. Iman menjadi permasalahan awal, utama, besar dan agung. Tidak ada persoalan lain yang boleh mengatasi persoalan Iman. Iman menjadi neraca bagi segala sikap dan laku mereka, Iman menjadi dasar prinsip dan pertimbangan mereka.

Lihatlah ketika tentera Islam dibawah pimpinan Saad ibn Waqash mengambil masa yang terlalu lama untuk menawan satu bandar. Ketika berita ini sampai pada Khlaifah Umar RA yang dihantarnya bukanlah satu batalion tentera tambahan tetapi hanya seorang utusan bersama sekeping warkah darinya. Antara kandungan warkah tersebut “Hendaklah kalian bermuhasabah diri, kemenangan kita adalah kerana maksiat musuh pada Allah SWT. Tetapi sekiranya kitapun melakukan maksiat tentu kita akan kalah dalam peperangan ini; tentera mereka lebih ramai dan senjata mereka jauh lebih baik dari kita”. Akhirnya seluruh tentera Islam bermuhasabah diri serta membetulkan segala kealpaan dan kesalahan serta meminta keampunan Allah SWT diatas segalanya. Akhirnya Allah memberikan mereka kemenangan yang mudah.

Hasil dari sentuhan al Quran, mereka menjadikan Iman sebagai neraca, panduan dan sistem hidup mereka. Mereka bahkan terlalu izzah dengan keimanan dan Islam hingga tidak mampu untuk membandingkan Islam dan sistem hidup yang lain. Islam dilihat sebagai karya dari pelukis agung sedangkan sistem-sistem lain umpama contengan kanak-kanak kecil yang masih belum mengenal erti kehidupan. Mereka merasa malu dan terhina jika di dalam jiwa mereka masih merasa ada pilihan antara Islam dan sistem hidup yang lain.

Al Quran benar-benar dekat dan memberi kesan pada jiwa mereka tetapi hari ini al Quran terasa begitu jauh dari jiwa kita apatah lagi untuk memberi kesan pada jiwa kita. Kenapa? Inilah satu persoalan yang perlu kita hayati dan cari penyelesaiannya.

Syed Qutb dalam bukunya ‘Seni penggambaran Dalam al Quran’ menyebutkan bahawa sekiranya kita benar-benar memahami bahasa al Quran ketika membacanya kita akan terasa seolah-olahnya al Quran ini sebuah filem dengan gambaran dan watak-watak yang hidup.

Sekiranya kita berusaha untuk ‘memahami bahasa iman’ kita melihat satu babak demi satu babak yang menggambarkan suasana dan watak watak yang hidup. Kita akan melihat pergerakan yang menyentuh jiwa serta suasana yang mendebarkan dan menggemparkan jiwa. Ketika kita sedang asyik menghayati ayat-ayat hukum tiba-tiba kita dikejutkan dengan pertanyaan tentang Hari Qiamat.

Al Quran mengemukakan peristiwa yang dapat dirasakan dengan indera, dapat disaksikan dengan mata kepala. Kemudiannya gambaran yang dilukiskannya itu ditingkatkannya dengan memberi kehidupan yang menjelma atau gerakan yang berulangkali terjadi. Pengertian yang diperolehi dalam fikiran lalu menjelma menjadi suatu keadaan atau gerakan. Sedang suasana kejiwaan menjelma, jiwa mula menjadi layar putih atau panggung pertunjukan. Tiba-tiba contoh kemanusiaan mula muncul dan hidup. Lalu peristiwa-peristiwa, pengalaman, cerita dan panorama dihidangkan dalam benruk watak yang hidup (personafikasi) yang terasa begitu dekat dan hidup serta bergerak. Sehingga akhirnya muncul dialog-dialog yang melengkapkan semua unsur-unsur gambaran atau tayangan. (Syed Qutb)

Ketika manusia yang ingin terus ingin melakukan maksiat itu bertanya “bilakah Hari Qiamat” Allah tidak memberikan jawapan dengan menayatakan tarikh atau tempoh masa sedangkan Allah berkuasa melakukannya tetapi Al Quran menjawab dengan satu jawapan yang mendebarkan jiwa dengan segala gambaran yang hidup dan melahirkan suasana kejiwaan yang menakutkan.

"Maka apabila mata terbelalak, dan bulan pun hilang cahayanya, lalu matahari dan bulan dikumpulkan, pada hari itu manusia berkata “Kemana tempat nak lari”. Tidak! Tidak ada tempat berlindung! Hanya kepada Tuhanmu tempat kembali pada hari itu. Pada hari itu diberitakan kepada manusia apa yang telah dikerjakannya dan apa yang dilalaikan. Bahkan manusia menjadi saksi atas dirinya sendiri, meskipun dia mengemukakan alasan-alasannya....” (Al Qiamah: 7-15)

Tidakkah kita merasai sentuhan Al Quran. Inilah jawapan yang mendebarkan jiwa; Ketika manusia terbelalak, terkejut dan takut melihat dahsyatnya hari Qiamat. Tidakkah kita terbayangkan wajah-wajah yang ketakutan, setelah hidupnya melupakan hari kematian, dosa-dosa dipandang ringan kini mereka melihat alam yang dihancurkan. Gunung ganangnya seperti debu-debu yang berterbangan. Bulan mul terpadam cahayanya dan matahari dan bulan bertembung dan hancur. Tidakkan kita melihat wajah-wajah yang ketakutan itu mencari tempat perlindungan, bukan perlindungan dari gempitanya hari Qiamat tetapi lari dari dosa dan maksiat yang menjadi dara h daging mereka selama ini. Tidak kita merasa sayu dan pilu apabila Allah mengatakan “Tidak! Tidak ada tempat berlindung” tiada lagi tempat untuk kita lari dari azab Allah SWT, bahkan akan dikhabarkan seluruh kejahatan kita hinggakan tidak satupun yang kekal sebagai rahsia, segalanya akan dibongkarkan bahkan seluruh anggota kita akan menjadi saksi.

Begitulah hidupnya gambaran yang diberikan al Quran agar jiwa kita tersentuh. Akhir sekali dibulan Ramadhan ini, marilah kita menghayati satu lagi firman Allah SWT yang merupakan hadith Qudsi. Hayatilah dengan jiwa kita sambil kita menghitung nikmat-nikmat Allah yang tidak terhitung dan dosa dan keengkaran kita yang tidak terbilang. Semoga jiwa kita menjadi lunak dan bersedia untuk mendapat sentuhan Al Quran.
Hadis riwayat al-lmam Muslim.

Daripada Abu Zar al-Ghifari r.a. daripada Rasulullah SAW berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Baginda daripada Allah SWT bahawa Dia berfirman:

Wahai hamba-hambaKu! Sesungguhnya aku mengharamkan ke atas diriKu kezaliman dan Aku jadikannya di kalangan kamu sebagai suatu perkara yang diharamkan, maka janganlah kamu saling zalim-menzalimi.


Wahai hamba-hambaKu! Kamu semua sesat kecuali orang yang Aku hidayatkannya, maka hendaklah kamu meminta hidayat dariKu.


Wahai hamba-hambaKu! Kamu semua lapar kecuali orang yang Aku beri makan, maka hendaklah kamu meminta makan daripadaKu nescaya Aku akan berikan kamu makan.


Wahai hamba-hambaKu! Kamu semua telanjang kecuali orang yang Aku berikannya pakaian, maka hendaklah kamu meminta pakaian daripadaKu nescaya Aku akan berikan kamu pakaian.


Wahai hamba-hambaKu! Sesungguhnya kamu bersalah siang dan malam dan Aku mengampunkan semua dosa, maka mintalah keampunan daripadaKu nescaya Aku akan ampunkan kamu.


Wahai hamba-hambaKu! Selama-lamanya kamu tidak akan mampu memudharatkan Aku sehingga kamu boleh memudharatkan Aku.


Wahai hamba-hambaKu! Dan selama-lamanya kamu tidak akan mampu memberi manfaat kepada Aku sehingga kamu boleh memberi manfaat kepada Aku.


Wahai hamba-hambaKu! Sekiranya orang-orang yang terdahulu dan terkemudian dari kamu, manusia dan jin di kalangan kamu, sekiranya mereka semua mempunyai hati bertaqwa umpama hati orang yang paling bertaqwa di kalangan kamu, nescaya hal itu tidak menambahkan apa-apapun dalam kerajaanKu.


Wahai hamba-hambaKu! Sekiranya orang-orang yang terdahulu dan terkemudian dari kamu, manusia dan jin di kalangan kamu, sekiranya mereka semua mempunyai hati jahat umpama hati orang yang paling jahat di kalangan kamu, nescaya hal itu tidak mengurang-cacatkan apa-apapun dalam kerajaanKu.


Wahai hamba-hambaKu! Sekiranya orang-orang yang terdahulu dan terkemudian dari kamu, manusia dan jin di kalangan kamu, sekiranya mereka semua berhimpun di suatu tempat, lalu mereka meminta daripadaKu (iaitu meminta sesuatu pemberian), lantas Aku kurniakan setiap orang dari kalangan mereka permintaannya, nescaya hal itu tidak mengurangkan sedikitpun apa-apa yang ada di sisiKu kecuali umpama berkurangnya air laut apabila dicelupkan sebatang jarum.


Wahai hamba-hambaKu! Bahawa sesungguhnya hanya amalan kamu yang Aku akan perhitungkannya bagi kamu, kemudian Aku sempurnakan pembalasannya. Maka barangsiapa yang mendapat kebaikan maka hendaklah dia memuji Allah dan barangsiapa yang mendapat selain kebaikan, maka janganlah dia mencela kecuali mencela dirinya sendiri.


sumber: http://syababghardhuffaz.blogspot.com/
Majlis Khatam Al-Quran
22:40 | Author: ::. Wan Yaakub Wan Abdullah .::

Alhamdulliah, Syukur pada Allah dapat khatamkan al-Quran dalam riwayat syu'bah dalam bulan Ramadan yang Mubarak ini..

Terima Kasih kepada Guru saya yang membimbing saya sejak 3 Sya'ban 1430 Hijrah hingga ke Majlis yang berkat ini.

Kita berkenalan dengan Syaikh secara ringkas, Nama beliau Syaikh Hassan bin Muhammad bin Hassan Rejab, Lahir pada15 Ogos 1951, Guru di Mahaad Qiraat Shoubra Al-Azhar Al-Syarif, sebelum ini beliau salah seorang Anggota Lajnah Tashih Al-Quran.

Kehidupan beliau sentiasa dengan al-Quran. Awal pagi, jam 5.30am beliau keluar dari rumahnya. Jam 6.00am- 6.00 petang, beliau mendengar bacaan ayat cuci al-Quran dari muridnya(talaqqi atau tasmi') samada di rumah murinya, di Masjid Khazandarah atau di Mahaad Qiraat Shoubra. Dengan duduk bersila berjam-jam tanpa rasa letih, cuba kita duduk bersila dalam 1 atau 2 jam, mesti rasa kejang kaki kan?. Inilah kerja harian beliau. MasyaAllah, Moga-moga Allah memberi ganjaran yang berlipat kali ganda kepada beliau,

Moga-moga Allah cempakkan di hati kita suka membaca Quran di siang atau malam hari. Moga-moga kita dapat mengamalkan isi kandungannya secara keseluruhannya. Moga-moga al-Quran menjadi Perlembagaan dalam Negara Malaysia pada suatu hari nanti, insyaAllah..


abu yusuf

19 Ramadan 1430
9 September 2009
Pilihanraya : Ni'mat dan Nikmah
14:45 | Author: ::. Wan Yaakub Wan Abdullah .::
1. Ketika saya menulis mengenai Pilihanraya : UMNO dan BN Nak Lari Ke Mana ? , bukan kerana saya mahu mendabik dada jauh sekali mendidik anak buah menjadi angkuh dan sombong .

2. Sebaliknya saya ingin mendedahkan hikmah besar dari fenomena yang sungguh luar biasa . Justeru apa yang berlaku itu tidaklah secara spontan atau kebetulan melainkan segalanya adalah perancangan Allah swt Tuhan Yang Maha Bijak dan Adil .

3. Tulisan saya kali ini adalah sambungan dari artikel sebelumnya . Kalau sebelumnya saya menulis dan mendedahkan mengenai hikmah , kini saya mahu menyebut mengenai ni'mat dan nikmah . Jika hikmah pilihanraya ialah mahu mengajar UMNO dan BN erti kalah agar mereka segera insaf dan memahami kehendak rakyat masa kini maka pilihanraya kecil yang berulang kali ini juga mempunyai ni'mat dan nikmahnya yang perlu diambil iktibar .

4. Ni'mat ialah anugerah Allah swt kepada hambaNya . Kemenangan demi kemenangan dalam pilihanraya kecil adalah antara ni'mat yang perlu disyukuri . Bukan kenduri kendara dan menganjurkan keraian guna merayakan kemenangan tetapi syukur dengan melaksanakan amanah kepimpinan yang dimandatkan .

5. Asas yang paling penting ialah jauhkan diri dari maksiat dan mungkar . Rendah diri dan tunaikan segala amanah kepimpinan dengan segala kemampuan dan keupayaan yang dimiliki . Mengabaikan amanah adalah satu perbuatan khianat yang dimurkai Allah swt sedang kita berjuang lalu menyertai pilihanraya adalah kerana memburu redha Allah swt . Menang atau kalah hanya satu keputusan yang boleh sahaja kita menerimanya tetapi kemurkaan Allah swt tidak mungkin kita mampu dan boleh menerimanya .

6. Selain dari perhatian diberikan kepada perlaksanaan tanggungjawab dan amanah , jangan lupa untuk melihat kepada sikap yang mungkin berubah sebagaimana berubahnya ni'mat kepada nikmah . Sekali dua kita menang mungkin kita gembira dan bersyukur kerana kita sukar untuk menang tatkala berdepan dengan UMNO dan BN yang menguasai kerajaan persekutuan ini .

7. Kemenangan besar pula berurutan kali akan melahirkan rasa megah dan hebat . Ini satu peringatan agar kita tidak terpedaya lalu akhirnya menjadi bongkak dan sombong . Lebih malang apabila murka Allah swt menimpa kita kerana mengambil hakNya lantaran hanya Allah swt yang berhak untuk sombong dan bongkak .

8. Hari ini sudah ramai dikalangan kita menghitung kemenangan malah leka dengan kemenangan tersebut . Kerja - kerja jamaah sedikit sebanyak terabai kerana memberi penumpuan kepada pilihanraya . Bukanlah pilihanraya itu tidak penting tetapi kita mesti ingat bahawa pilihanraya hanya sebahagian dari tugas perjuangan kita . Ertinya di sana masih terlalu banyak perkara yang wajib kita lakukan .

9. Kerja - kerja amal Islami terlalu luas terutamanya gerakkerja pengkaderan anggota jamaah . Inilah gerakkerja yang paling asas dan inilah jua tunjang kekuatan jamaah kita sebagai sebuah Gerakan Islam mendepani cabaran besar era ini . Malah gerakkerja pengkaderan inilah juga yang membezakan kita dengan yang lain . Jangan abaikan atau kesampingkannya semata - mata kerana pilihanraya sedang pilihanraya ini tidak akan habis . Saya bimbang pilihanraya ini menjadi nikmah bukan lagi ni'mat .

10. Mahu tidak mahu pilihanraya terpaksa dihadapi dan kemenangan mesti dicari , cuma dalam masa yang sama kita mesti bijak bertindak dan membahagikan tumpuan . Mungkin parti mesti memikirkan bagaimana mekanisme untuk menangani fenomena ini . Sebelum ini kita tidak berhadapan dengan situasi seperti ini [ 9 kali pilihanraya dalam tempoh setahun ] , kini realiti memaksa kita bistari dalam mengatur langkah . Paling penting ialah tarbiah dan gerakkerja pengukuhan parti jauh lebih penting dari hanya semata - mata pilihanraya .

sumber: http://episodeperjuangan.blogspot.com/
Alhamdulillah,
08:56 | Author: ::. Wan Yaakub Wan Abdullah .::
Allah Yang Maha Pengasih... Alhamdulillah dapat juga Saya Khatam kitab Nahu Tuhfatul alSaniah pada 7 Ramadan lepas. Selama setahun lebih bertungkus-lumus..terpaksa mengambil masa yang lama untuk habis matan jurmiah ini, dua bait/matan/baris Syaikh saya syarahkan dalam satu-satu masa. Buku kecil sahaja tetapi kunci segala nahu..

Alhamdulillah, juga dapat khatamkan kitab usul fiqh alwajiz karangan DR Wahabah Zuhaili pada 8 Ramadan..

Alhamdulillah keputusan peperiksaan Syahadah akhir tahun dapat Najah. Rezki dari Allah, kalau ikut akal saya, memang tak mampu.. mungkin ini hasil doa dari Ibu, Syaikh-syaikh, keluarga dan sahabat-sahabat..Syukran.. Najah itu tidak bermakna kita pandai, gagal itu tidak bermaksud kita kurang cerdik, kadang-kadang orang yang gagal itu ilmunya tinggi daripada orang yang najah..inilah bumi mesir...

Satu lagi yang saya belum selesaikan... Doakan moga-moga saya dapat khatam talaqqi Quran riwayat syu'bah dengan Sykh Hassan Rejab.. Ni baru juz 20, ade 10juz lagi bakinya.. Tarikh balik ke Malaysia 24 Ramadan...ada baki 13 hari lagi..terpaksa baca Quran depan Sykh dua juz sehari, tiap-tiap hari kecuali hari jumaat{cuti}, penat sikitlah.. ni lah akibat last minit nak kejar semua ilmu...

Moga-moga kita dapat mengambil kesempatan untuk menambah ilmu dan meningkatkan ketawaan kepada Allah dalam Tarbiah bulan Ramadan ini.

Abu Yusuf

Shoura Cairo Egypt
11 Ramadan 1430 Hijrah