Oleh: Ust Nik Abduh Bin Nik Abdul Aziz

Isu arak yang tengah panas di Selangor hendaklah difahami sebagai isu kawalan penjualan arak, bukan isu pengharaman arak. Arak adalah haram di sisi Islam. Meminum, menjual, mengangkat dan apa – apa yang bersifat menyokongnya adalah haram dan berdosa besarlah setiap muslim yang melakukannya.

Jika sebuah negara itu penduduknya Islam semuanya, maka tidak boleh ada satu pun kedai yang dibenarkan menjual arak. Undang – undang Islam mengenainya adalah ketat seketat yang dikehendaki Allah, tuhan yang menciptakan arak lalu mengharamkannya ke atas manusia.

Adapun jika sebuah negara umat Islam itu turut didiami bukan Islam yang menghalalkan arak dalam kehidupan mereka, maka hak untuk mendapatkan bekalan arak itu hendaklah diberikan. Oleh kerana wujud ketakutan ianya mempengaruhi kehidupan masyarakat Islam, maka penjualan dan pengedaran arak di kalangan masyarakat bukan Islam hendaklah dikawal oleh kerajaan yang memerintah.

Oleh kerana hampir tiada negara umat Islam hari ini yang tegak tanpa minoriti bukan Islam, maka undang - undang pengawalan penjualan arak haruslah diterima pakai dan hendaklah sentiasa disemak agar ianya memberi dan menepati keadilan dan hak kepada semua rakyat.

Hikmat pengharaman arak adalah terlalu jelas. Allah menyebutnya di dalam al Quran agar ianya jelas dan menutup kekeliruan manusia terhadap pengharamannya. Tidak ada ugama yang tidak mengharamkan arak. Yang menjadikannya halal hanyalah penganut ugama masing – masing bergantung kekuatan mereka mengamalkan ugama mereka.

Di negara kita, arak adalah halal. Kerajaan menjadikannya hasil mahsul ekonomi negara. Sedikit kawalan ke atasnya oleh undang – undang negara adalah sekadar untuk mengesahkannya sebagai halal. Ia seperti undang – undang menyekat zina, riba dan rokok. Barang halal yang terkawal, bukan barang haram yang terkawal.

Justeru dalam Islam, ianya adalah isu menghalalkan yang haram. Ia satu dosa besar dan dibalas kehinaan, murka dan neraka tuhan. Ridha ke atas ketetapan ini juga adalah haram dan teramat besar dosa dan kehinaannya di sisi Allah. Justeru sebarang usaha, seruan dan sokongan ke atas pengharaman dan pengawalannya daripada melegari kehidupan umat Islam di negara kita adalah wajib dan diganjari ridha dan ganjaran Allah. Ia melepaskan kita daripada dosa yang dikembangkan oleh pemerintah Islam yang derhaka kepada Allah.

Ia bukan isu sensitiviti. Ia isu iman. Ia samada syurga atau neraka.

Undang – undang negara mengenai arak hari ini adalah menepati kehendak masyarakat bukan Islam yang langsung membuang hukum agama mereka berkenaan arak. Untuk mereka agama mereka. Tetapi ugama mereka bukan untuk kita. Malangnya, pemerintah negara kita yang mengaku muslim berlaku dan bertindak sebaliknya. Ia kemalangan yang menghinakan umat Islam di negara sendiri.

Oleh kerana PAS adalah gerakan Islam nasional yang berusaha menguasai politik dan kuasa demi pelaksanaan dasar dan polisi Islam yang lebih kukuh dalam negara, maka PAS dilihat mampu, bertanggung jawab dan mesti menggunakan kudratnya untuk memastikan penjualan arak di dalam negara menepati kehendak ugama.

Penguasaan PAS di negeri Kelantan selama hampir 20 tahun telah menyaksikan peraturan ke atas kawalan penjualan arak dilaksanakan. Orang Islam dilarang menjual arak, apatah meminumnya. Kebenaran menjual arak adalah terhad kepada sebilangan premis bukan Islam yang tertentu dengan syarat – syarat yang menjamin penyalah gunaannya yang boleh melibatkan umat Islam.

Selepas lebih 10 tahun perlaksanaan berjalan, masyarakat bukan Islam telah memohon supaya ditambah bilangan premis mereka yang dibenarkan menjual arak kerana bertambahnya kependudukan masyarakat bukan Islam terutama di bandar Kota bharu. Kerajaan telah menyemak balik dan akhirnya meluluskan penambahan koata selepas perundingan yang agak memakan masa kerana ketelitian termasuk soal – soal penyalah gunaan yang dilaporkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Penguat kuasaan kawalan penjualan arak di Kelantan pada awalnya telah mendapat tentangan masyarakat bukan Islam yang bimbang hak dan kebebasan mereka dirampas. MCA pernah berhasrat menganjurkan pesta minum arak terbuka sebagai bantahan ke atas perlaksanaan enakmen tersebut, tetapi akhirnya dibatalkan apabila akur dengan tempelakan YAB Tuan guru yang tidak menghalang, malah menyuruh mereka berpesta minum sampai pecah perut. Ketegasan YAB Menteri Besar Kelantan yang mahukan perlaksanaannya berjalan akhirnya telah diterima baik dan berjalan lancar.

Malah, selepas perlaksanaan berjalan, YAB Tuan Guru menerima panggilan dan ucapan terima kasih dan tahniah yang banyak daripada masyarakat bukan Islam terutama golongan wanita yang mendakwa rumah tangga mereka lebih berseri tanpa arak dan judi yang menghantui suami dan keluarga.

Masyarakat Islam selamat daripada mendekati dan didekati arak dan masyarakat bukan Islam mula belajar budaya hidup sihat tanpa arak melampau dan mula memahami sensitiviti umat Islam terhadapnya. Yang lebih penting, mereka mula mengenali bahawa masyarakat Melayu yang mengharamkan arak adalah jauh lebih menyayangi mereka berbanding masyarakat Melayu ( baca UMNO ) yang menghalalkan arak.

Pengalaman saya sebagai ahli Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) menunjukkan bahawa masyarakat Islam dan bukan Islam telah menjadi begitu sensitif dan sering melaporkan kejadian – kejadian pelanggaran samada oleh orang Islam ( terutama remaja ) atau bukan Islam.

Pastinya arak bukan lagi punca dan ancaman besar kerosakan akhlak dan sosial di Kelantan.

Hari ini anda sedang mendengar isu arak kembali geger dan bising di negeri Selangor yang berada di bawah Pakatan Rakyat yang diterajui PKR.

Anda berhak gusar dan bertindak balas. Tetapi dalam politik, adalah baik tarik tali itu terus berlangsung walau selama mana pun. Putus tali tidak menghasilkan keputusan baik yang dikehendaki.

PAS berhak mengkritik sebagai mana DAP juga. Apabila kita berada di dalam Pakatan Rakyat yang bersifat persefahaman di antara parti – parti yang mempunyai dasar yang berlainan, adalah perlu perselisihan sesama sendiri diselesaikan dengan baik.

Perlaksanaan nilai Islam oleh PAS dalam Pakatan Rakyat di Selangor tidak akan semudah di Kelantan, malah kesukarannya mudah pula dilihat. Justeru jalan terbaik ialah berusaha mengurangkan jurang selisih melalui perbincangan yang harmoni dan berterusan. Itu selagi kedua – dua pihak bersetuju begitu.

Mungkin wujud beberapa kesilapan bersifat teknikal daripada PAS. Ia boleh berlaku di mana sahaja dan bila – bila saja kerana kesilapan kecil adalah tanda kita ini manusia, bukan malaikat. MPKB – BRI pernah dicabar di mahkamah oleh pemilik premis muslim yang mencabar peraturan Islam yang dilaksanakan. MBKB-BRI kalah dan terpaksa membayar puluhan ribu ringgit. Tetapi PAS telah menang di dalam politik dan kesungguhan untuk melaksanakan kewajiban di atas pundaknya.

Daripada kesilapan yang diakuri, berapa banyak sejarah kejayaan yang sudah ditempa daripadanya.

DAP pula harus belajar untuk mengendurkan ketegangan yang tidak perlu. Akur bahawa kawalan penjualan arak adalah hak umat Islam yang terabai. UMNO menggadai dan menjual hak ini sekian lama demi kuasa yang telah menyesatkan mereka. UMNO menjual ugama semurah yang mereka mahu.

Kita akur bahawa banyak hak orang Islam dan hak bukan Islam telah dilenyapkan oleh warga BN selama pemerintahan mereka lebih 50 tahun sejak negara merdeka. Jika kita mahu bertahan lama dalam Pakatan Rakyat, tarik tali itu biarlah tidak putus. Kita sedang belajar untuk menunaikan hak.

Usaha PAS Selangor semestinya perlu disokong semua pihak. Jika ada parti politik merasakan ianya tidak menyebelahi mereka, ia bukanlah parti rakyat kerana kawalan penjualan arak adalah hak rakyat dan mengharmonikan rakyat. Arak bahayanya tiada yang menyangkalnya. Jika ada, sah dia UMNO ultra, tak kiralah dia PAS atau DAP.

Nak ke jadi UMNO?