Takutlah Doa Mangsa Kezaliman
02:06 | Author: ::. Wan Yaakub Wan Abdullah .::
1. Ameen Ya Rabbal A'lamin . Saya dan seluruh pemuda Islam insyaallah mengaminkan doa Tok Guru sebagai seorang ulama' dan pemimpin yang dizalimi tanpa sebarang belas simpati .

2. Sabda Rasulullah saw :

اتقوا دعوة المظلوم فإنها ليس بينها و بين الله حجاب

[ Takutlah olehmu akan doa orang - orang yang dizalimi kerana sesungguhnya antara doa orang yang dizalimi dengan Allah swt tiada hijab - halangan - ]

ibnu Hibban

3. Rakyat dan pemimpin negeri Kelantan telah dizalimi apabila Kerajaan UMNO dan BN gagal memberikan hak mereka berupa royalti hasil minyak petroleum kurniaan Allah swt kepada bumi Kelantan . Kegagalan Kerajaan UMNO dan BN menunaikan tanggungjawab mereka memulangkan hak rakyat negeri kelantan sebenarnya adalah sikap yang dicela oleh Allah swt .

4. Belumpun sempat Tuan Guru Nik Abdul Aziz berdoa , terlebih dahulu kutukan laknat dari Allah swt telah mengenai orang yang berlaku zalim biarpun ia mengaku muslim malah mendirikan sembahyang . Lihat sahaja bagaimana firman Allah swt di dalam surah al Maa'un ayat 4 hingga ayat 7 :

فويل للمصلين الذين هم عن صلاتهم ساهون الذين هم يرآءون و يمنعون الماعون

[ Maka celakalah bagi orang yang mendirikan sembahyang namun lalai di dalam sembahyangnya , orang - orang yang riya' dalam amalannya dan mereka yang menghalang rezeki - barang bermanafaat dari sampai kepada pihak yang selayaknya - .]

5. Antara rezeki dan harta atau barang yang bermanafaat untuk rakyat Kelantan ialah royalti justeru royalti adalah hak mereka . Malangnya kerajaan UMNO dan BN yang dipimpin oleh Datuk Seri Najib termasuk dalam golongan mereka yang menghalang rezeki tersebut . Tuan Guru selaku pemimpin kerajaan negeri sudah jenuh berikhtiar dengan penuh diplomasi sebelum ini , nampaknya Datuk Najib dan kerajaan UMNO dan BN yang dipimpinnya tidak memahami bahasa diplomasi .

6. Bahasa apa lagi yang boleh digunakan oleh golongan tertindas melainkan hanyalah mengadu kepada Tuhannya yang Maha Adil lagi Maha Mendengar doa hambaNya yang terainaya . Doa adalah senjata orang yang beriman terutama saat mereka kehabisan ikhtiar dan tiada pilihan lagi الدعاء سلاح المؤمن ]

7. Adapun langkah Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyebut nama di dalam doa beliau sebenarnya tidaklah bercanggah dengan sunnah bahkan Nabi saw pernah menyebut nama - nama mereka yang menentang dan menzalimi baginda saw dan ummat Islam . Nabi saw saat hiba mengenang perbuatan Quraisy [ Uqbah bin Abi Mu'it ] yang meletakkan najis di atas belakangnya sewaktu sujud dihadapan Kaabah , sejurus dibersihkan jasad Baginda saw oleh Fatimah radhiallahuanha , Rasulullah saw berdoa :

اللهم عليك بقريش

Ya Allah ! Aku serahkan kepadaMu urusan untuk membinasakan Quraisy . [ sebanyak 3 kali ]

8. Sebaik mendengar doa ini , penduduk Quraisy yang tadinya ketawa besar melihat keadaan Muhamad saw tiba - tiba terdiam kerana takutkan doa tersebut . lalu Nabi saw menyambung doanya :

اللهم عليك بأبي جهل بن هشام و عتبة بن ربيعة و شيبة ين ربيعة و الوبيد بن عتبة و أمية بن خلف و عقبة بن أبي معيط

Ya Allah ! Aku serahkan kepadaMU urusan untuk membinasakan Abi jahal bin Hisyam , Utbah bin Rabia'h , Syaibah bin Rabia'h , al Walid bin Utbah , Umaiyyah bin Khalaf dan Uqbah bin Abi Mui't .

Ibnu Masu'd bersumpah : Demi Allah yang diriku berada didalam genggamanNya , kesemua nama yang disebut itu terbunuh didalam peperangan Badar .

Sirah Ibnu Ishaq


9. Zambry [ Menteri besar Perak yang tidak sah ] menunjukkan kejahilannya apabila mengeluarkan kenyataan kononnya Nabi saw tidak pernah mendoakan kecelakaan Abu Lahab . Mungkin Zambry juga tidak membaca al Quran Surah al Lahab . Bukankah Allah swt telah berfirman maksudnya :

Celakalah Kedua - dua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya ia akan binasa . Tidaklah berfaedah kepadanya harta bendanya dan apa yang ia usahakan . kelak dia akan masuk ke dalam api yang membara . Dan begitu pula isterinya , pembawa kayu api yang dilehernya ada tali dari sabut .

Jika Allah telah melaknatnya dan ayat itu dibaca sepanjang zaman . Apakah Zambry memerlukan ayat lain untuk melaknat Abu Lahab ? Ayat ini dibaca oleh Nabi saw dan seluruh ummatnya disepanjang zaman .

10. Selayaknya orang yang dizalimi bersabar dan bermunajat kepada Allah swt . Allah adalah Tuhan Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui . Allah tidak akan mensia - siakan doa hambaNya yang menderita dan sengsara angkara kezaliman

http://episodeperjuangan.blogspot.com/
Tok Guru Nik Aziz Jadi Mangsa
06:04 | Author: ::. Wan Yaakub Wan Abdullah .::
Tuan Guru Hj Nik Abd Aziz
Pula Cuba di "bunuh"
oleh Politik Persepsi.


1. Setelah mereka [ musuh ] berhempas pulas untuk membunuh karektor dan kewibawaan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang melalui senjata baru yang diberi nama persepsi , kini Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz pula menjadi mangsa mereka .

2. Mereka melihat keutuhan perjuangan Islam yang didokong oleh PAS sejak sekian lama adalah ditunjangi oleh ketokohan luar biasa 2 Tok Guru [ Nik Abd Aziz dan Hj. Abdul hadi ] yang bertaraf mursyid biarpun mereka berdua tidak maksum .

3. Keutuhan PAS sebagai sebuah wadah perjuangan Islam di dalam negara selama ini tiada siapa yang boleh menafikannya , sehinggalah akhir - akhir ini terdapat percubaan yang sangat ekstrim untuk melumpuhkannya dengan terlebih dahulu menjadikan kedua - dua Tok Guru sebagai sasaran awal direbahkan .

4. Sebelum ini kepimpinan Tok Guru Hj Abdul Hadi dipertikai teruk dengan membentuk satu persepsi yang buruk bahawa beliau adalah seorang pemimpin yang lemah dan tidak berkeupayaan memimpin parti dengan menonjolkan beberapa kelemahan , sementara mereka menyembunyikan kelebihan dan kejayaan yang telah dicapai sepanjang kepimpinan beliau .

5. Tidak puas mereka mengkeronyok Tuan guru Hj. Abdul Hadi sebagai Presiden PAS dengan persepsi buruk yang mereka bentuk , kini mereka cuba pula untuk membentuk persepsi negatif guna membelasah Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz kononnya mengamalkan nepotisme dan rasuah dalam kepimpinannya .

6. Matlamat mereka hanyalah satu , iaitu membentuk persepsi buruk terhadap kedua - dua Tok Guru ini dan kemudiannya menjadikan ia sebagai liabiliti kepada parti , maka secara hormat atau biadab , kedua - dua Tok Guru ini mahu disingkirkan dari pengaruh dan kerusi kepimpinan mereka . Mereka mahu PAS bergolak dan lemah sejurus itu mereka boleh menarik nafas lega .

7. Terbaru mereka masih menyerang Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz setelah Tuan Guru menyatakan pendirian tegasnya bahawa beliau membenarkan SPRM menyiasat diri dan menantunya demikian juga satu tindakan tegas , bijak dan berhemah Tuan guru apabila membatalkan hasrat mengerjakan ibadah haji ekoran isu penajaan ibadah haji beliau menjadi polemik di media .

8. Integriti yang dipertahankan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz sejak 20 tahun memimpin negeri Kelantan meletakkan beliau senantiasa bersedia membuka pintu rumahnya 25 jam sehari bagi SPRM menyiasat kes rasuah jika ada . Juga sungguh besar pengorbanan Tuan guru yang sanggup membatalkan ibadah haji beliau di saat semua orang menaruh harapan tinggi untuk ke tanah suci , semata - mata kerana mahu menjaga nilai integriti yang dipertahankan selama ini . Bijak sungguh Tuan Guru mengurus persepsi buruk yang sengaja dicipta untuk menjatuhkan maruah [ air muka ] beliau sekaligus membuat tekanan untuk menyingkirkan beliau dan melemahkan parti yang dipimpinnya .

9. Hari ini mereka masih menyerang dan melebarkan ruang persepsi buruk yang sengaja mereka cipta dengan mengambil peluang atas keadaan yang ada , setelah mereka juga tahu bahawa Tuan Guru adalah seorang insan yang bertaqwa dan tidak mungkin mengamalkan rasuah . Tidak mudah mereka mahu melumpuhkan kewibawaan Tuan Guru dengan persepsi yang mereka bentuk kerana rakyat yakin Tuan Guru juga adalah seorang yang ikhlas memimpin negeri dan rakyat ke arah membangun bersama Islam .

10. Tegas saya nyatakan disini , bahawa kami pemuda - pemuda PAS seluruh negara , senantiasa bersama dengan kedua - dua Tok Guru [ Hj. Nik Abdul Aziz dan Hj. Abdul Hadi ] sekaligus menyatakan sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan mereka sambil mengutuk sekeras - kerasnya sebarang percubaan untuk menjatuhkan mereka dengan cara yang tidak berhemah dan berakhlak .

http://episodeperjuangan.blogspot.com
Manhaj Usrah Sirah di Peringkat Remaja dan Muda-mudi.
00:22 | Author: ::. Wan Yaakub Wan Abdullah .::

Siri 1


KEHIDUPAN BAGINDA SEBELUM DIUTUSKAN SEBAGAI RASUL


1) Keturunan Baginda amat mulia :


-Diriwayatkan daripada al-Abbas r.a., daripada Rasulullah s.a.w., Baginda bersabda:

“Sesungguhnya Allah mencipta makhluk ini, lalu Dia menciptakan aku daripada sebaik-baik makhluk dan daripada sebaik-baik kelompok mereka (manusia). Dia juga menjadikan aku daripada sebaik-baik kumpulan di antara dua kumpulan (Arab dan bukan Arab). Kemudian Dia meneliti pemilihan kabilah-kabilah secara rapi, maka Dia menciptakan aku daripada sebaik-baik kabilah (Quraisy). Kemudian Dia meneliti pemilihan keluargakeluarga secara rapi, maka Dia menciptakan aku daripada sebaik-baik keluarga (Bani Hasyim). Sementara aku adalah sebaik-baik jiwa (sehingga dipilih menjadi rasul dan penutup segala nabi) dan sebaik-baik keluarga di kalangan mereka. (asal-usul keturunan ibu bapa dan nenek moyang Baginda tiada yang lahir daripada perzinaan, bahkan melalui pernikahan yang sah)”.

(Riwayat at-Tirmizi dengan sanad yang sahih).


- Quraisy telah mencela Baginda dengan banyak isu yang direka-reka tetapi bukan dalam isu keturunan.


2) Baginda membesar sebagai anak yatim. Bapa Baginda, Abdullah telah meninggal dunia ketika ibu Baginda baru mengandungkan Baginda dua bulan. Apabila Baginda berusia enam tahun, ibu Baginda, Aminah pula meninggal dunia. Oleh itu, semasa kecil Baginda s.a.w. telah merasai pahit maung tidak mendapat belaian kasih sayang ibu bapa. Selepas itu, Baginda telah dipelihara oleh datuk Baginda, Abdul Muttolib. Ketika berumur 8 tahun, datuk Baginda pula meninggal dunia. Dengan itu Baginda selanjutnya dipelihara oleh bapa saudara Baginda, Abu Tolib sehingga Baginda besar dan dewasa.


3) Pada awal remaja, Baginda s.a.w. mengembala kambing untuk penduduk Makkah dengan bayaran upah beberapa qirat (1/24 dinar).


4) Kemudian, apabila umur Baginda mencapai 25 tahun, Baginda berniaga untuk Khadijah binti Khuwailid. Baginda berniaga bermodalkan harta Khadijah dengan mendapat bayaran upah.


5) Baginda s.a.w. tidak menyertai rakan-rakan sebayanya di kalangan remaja Makkah dalam bersukaria dan berfoya-foya. Allah telah memelihara Baginda daripada terlibat dalam gejala tersebut. Semasa usia remajanya, Baginda terdengar suara nyanyian daripada salah sebuah rumah di Makkah sempena majlis perkahwinan. Baginda teringin menyaksikannya. Tetapi Allah menjadikan Baginda tertidur. Baginda hanya terjaga setelah matahari panas terik. Baginda juga tidak terlibat bersama kaumnya menyembah berhala, makan sembelihan untuk berhala, minum arak dan bermain judi. Baginda juga tidak pernah bercakap celupar dan berkata kesat.


6) Sejak Baginda mula mumayyiz, Baginda dikenali mempunyai akal yang matang dan pandangan yang bernas. Peristiwa perletakan Hajarul Aswad ke tempatnya di Kaabah menjadi bukti yang jelas terhadap perkara ini. Masa itu ka’bah dilanda banjir. . Baginda membentangkan kain selendangnya, kemudian mengambil Hajarul Aswad dan diletakkan ke atas kain itu. Baginda kemudiannya menyuruh setiap kabilah memegang hujung selendang. Apabila mereka mengangkatnya dan Hajarul Aswad itu tiba ke tempat letaknya, Baginda mengambil dan meletakkannya ke tempatnya dengan tangan Baginda. Mereka semua berpuashati.


7) Semasa remaja, Baginda s.a.w. dikenali sebagai seorang yang jujur dan amanah di kalangan kaumnya, Baginda terkenal dengan hubungan baik, menepati janji, perjalanan hidup mengikut landasan yang lurus dan reputasi baik. Ini menarik minat Khadijah untuk memberi tawaran kepada Baginda agar memperniagakan harta dagangannya melalui sebuah kafilah yang pergi ke kota Basra setiap tahun.


8) Beberapa tahun sebelum diutuskan sebagai Nabi, Allah telah menimbulkan rasa cinta

kepada Baginda s.a.w., untuk pergi ke Gua Hira (sebuah bukit yang berdekatan dengan Makkah dan terletak di barat laut Makkah). Baginda berkhalwah di dalamnya selama sebulan kerana memikirkan tanda-tanda kebesaran Allah dan kehebatan kekuasaan-Nya. Perkara ini berterusan sehingga datang wahyu dan turunnya al-Quran al-Karim kepada Baginda.


abu yusuff

MTSNA Kok Lanas

13/11/2009


p/s: inyaAllah, siri-siri yang seterusnya akan saya terbitkan.


rujukan: Durus Wa Ibar Karangan DR Abdul Nasih 'ilwan

Agenda halus melemahkan PAS
03:42 | Author: ::. Wan Yaakub Wan Abdullah .::
Oleh : penawarrindu
| sumber
Tunggak kekuatan PAS pada masa ini terletak pada 2 ulamak besar yang menerajui Parti itu sekarang. Kekuatan yang ada pada Tok Guru Nik Abdul Aziz dan Tok Guru Haji Abdul Hadi adalah merupakan inspirasi kepada Gerakan Islam PAS.

Kunci kekuatan dan ketahanan terletak pada diri mereka berdua. Oleh itu sekiranya ada usaha untuk memusnahkan PAS, maka usaha pertama adalah mestilah meruntuhkan mereka berdua. Samaada memecahkan keakraban mereka berdua atau melemahkan kedua-duanya secara berasingan.

Usaha ini telah lama dilakukan oleh musuh-musuh Islam di Malaysia, sejak seawal kebangkitan kedua-dua ulama' ini lagi. Pelbagai usaha telah dilakukan samada melalui fitnah luar atau meresap melalui organ didalam PAS itu sendiri. Namun Allah tetap memelihara Jamaah ini dari anasir-anasir jahat berkat doa dan munajat.

Pelbagai usaha fitnah telah dilemparkan supaya ada perbezaan pandangan yang boleh mengheret mereka berdua kekancah perpecahan.Didalam usaha samada secara sedar atau tidak ada dikalangan organ parti yang turut terheret untuk sama-sama memberi saham untuk menjayakan agenda memecahbelahkan keakraban dua Tok Guru ini.

Terkadang , ada yang terlalu berani dan terlalu laju didalam membuat telahan.Walaupun kekadangnya mengaku sebagai organ Jamaah, akan tetapi tindakan yang diambil sering kali menguntungkan musuh.Apa tujuannya bertindak demikian? adakah untuk berbangga -bangga dengan dengan apa yang dilakukan? Sedarkah kalian sesuatu yang kita lakukan itu menguntungkan musuh? Maka sekira-kiranya yang kita lakukan itu menguntungkan musuh-musuh islam, apa kah ganjaran yang akan Allah sediakan untuk kita? Mungkin kita mentafsirkan mengikut telahan kita bahawa tindakan kita itu wajar? Tapi sedarkah kita kewajaran yang kita telah berpandukan hukum apa? Hukum akal? atau sememangnya kita bertaklik buta?

Ya betul orang yang berijtihad itu kalau betul dapat dua pahala, sementara yang salah itu mendapat satu pahala.Tapi Ijtihad kita itu berpandukan ilmu atau akal? kalau bertijtihad berpandukan akal semata-mata, usahkan mendapat satu pahala. dosa pula yang diundang.

Selepas usaha memecahkan kedua-dua ulama' PAS ini menemui kegagalan walaupun dengan pelbagai cara yang diusahakan, musuh-musuh Islam berusaha pula melemahkan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Pelbagai gelaran, pelbagai kelemahan yang dilebelkan.Namun begitu usaha menimbul kebencian pengikut dan ahli terhadap beliau juga dilihat menemui kegagalan. Sebahagian besar ahli dan pengikut tidak terjebak dengan dakyah yang dibawa oleh usuh-musuh Islam.

Malahan mereka masih sayangkan pemimpin ini dan masih mengharapkan agar beliau terus memimpin PAS. Lantas usaha ini dihalakan pula kepada mereka mereka yang dikeliling beliau. Usaha ini nampak semacam ada sedikit keberkesan tetapi dengan semangat ukwah dan tarbiyah ahli juga mampu menangkis usaha jahat tersebut.

Kini dalam sehari dua ini pula ditimbulkan pula isu bai'ah supaya menimbulkan kekeliruan dikalangan masyarakat, apakah musuh-musuh Islam mengangap pemimpin PAS sejahil mereka mengeluarkan bai'ah yang sedikian rupa? Isu ini rasanya tidak bertahan lama.

Disamping itu, kini dalam masa seminggu sudah dua kali pegawai SPRM 'mengziarahi' pejabat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) untuk apa itu semua? hanya dengan mengambil maklumat dari blog semata-mata.Bagaimana mungkin SPRM boleh bertindak dengan hanya maklumat dari blog? selama ini beratus-ratus fakta telah dikemukakan oleh blogger yang pro Pakatan Rakyat, apa tindakan SPRM? Kes ini juga dilihat satu usaha untuk melemahkan kepimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang kebetulan CEO PMBK adalah menantu beliau.Ada dakwaan menyatakan bahawa orang dalam yang buat ona, jika betul begitu, itulah tangan-tangan jahat yang berusaha untuk melemahkan Tok Guru.

Inilah usaha-usaha musuh Islam yang tidak putus putus bekerja untuk melemahkan kedua-dua Tok Guru ini. Oleh itu sebagai ahli dan penyokong kepada jamaah ini marilah kita bersatu mempertahankan kedua-dua Tok Guru ini dari musuh-musuh islam yang tidak putus-putus berusaha untuk menghancurkan Jamaah ini.

Dan ketika kaum kafir merancang untuk memenjarakan engkau, membunuh engkau atau mengusir engkau - mereka merancang dan Allah juga merancang. Dan Allah adalah sebaik-baik perancang’ [Al-Anfaal 8:30]

Kita sayang Jamaah ini, kita sayang kedua-dua Tok Guru ini.
Menyebar maklumat bohong ke neraka
22:21 | Author: ::. Wan Yaakub Wan Abdullah .::




Oleh : Datuk Seri Abdul Hadi Awang

Firman Allah SWT, “Dan siapakah lagi yang lebih indah cakapnya termasuklah lisannya daripada orang yang menyeru kepada agama Allah juga beramal dengan amalan yang soleh seraya menegaskan sesungguhnya saya termasuk dikalangan orang-orang menyedari Islam adalah sebenarnya.”

Pertamanya, saya mengucapkan tahniah bersempena dengan ulangtahun ke 10, penubuhan Jabatan IT PAS Pusat.

Satu bahagian penting diwujudkan selaras dengan perkembangan semasa dan kemajuan teknologi moden yang wajib dimanfaatkan oleh PAS khususnya bagi menunaikan tanggungjawab menyampaikan mesej risalah Islam yang diamanahkan kepada kita sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh Nabi Muhammad SAW.

Ia bukan sekadar untuk menyampaikan maklumat tetapi untuk mengajak manusia disemua peringkat kepada Islam.

Dalam erti kata yang lain, mengislamkan manusia masyarakat dan negara khususnya dalam cara demokrasi barat yang memerlukan Islam mendapat sokongan yang ramai.

Oleh itu, maklumat tentang Islam memang sangat penting untuk menyampaikan hidayah itu ke dalam hati manusia.

Sebenarnya, menyampaikan maklumat sehingga orang itu mendapat hidayah adalah agenda besar daripada pokok amal yang termasuk dalam jihad menghapuskan musuh sehingga meninggal dunia.

Islam memilih pendekatan damai lebih dulu daripada peperangan. Islam melaksanakan peperangan apabila dipaksa selagi ada muwajahah silmiyyah. Kita memilih cara damai.

Oleh sebab itu, semua gerakan Islam yang ditubuhkan atas konsep islah dan tajdid mengambil saluran demokrasi, menyampaikan dakwah, mengajak manusia kepada Islam.

Penyampaian dakwah mestilah dengan maklumat, malah kita disuruh mengambil ruang maklumat untuk dimanfaatkan termasuklah dalam bidang IT.

Ia salah satu percapaian ilmu manusia yang terkini. Namun ia laksana senjata yang digunakan untuk mempertahankan diri atau digunakan sebagai senjata untuk melakukan kejahatan di muka bumi Allah SWT.

Dalam hal ini, PAS sebagai parti Islam wajib mengarahkan seluruh jenteranya, beramal dengan akhlaq dan adab-adab Islam.

Sekiranya kita melaksanakan tugas dengan akhlaq dan adab-adab Islam, maka sangat besar pahalanya dikurnia oleh Allah SWT. Sekiranya kita memilih dari yang lain, iaitu untuk membawa fasad sesama manusia, maka celaka dan balanya pun besar.

Marilah kita menghayati apa yang disabdakan oleh Allah SWT, “Jihad yang paling afdhal adalah berkata benar dihadapan pemerintah yang zalim” Jadikan ICT ini senjata untuk jihad menulis dan menerang, menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran.

Sangat besar fadhilatnya sekiranya kita berjaya menarik seseorang kepada perkara yang baik dengan ilmu dan tenaga yang ada pada kita.

Sabda Rasulullah SAW, “Demi sesungguhnya kejayaanmu menyampaikan hidayah kepada seseorang sehingga ia menerima petunjuk kepada Islam lebih baik jika dibandingkan dengan kenderaan yang paling mahal harganya”.

Dan sabda Rasulullah SAW, “Barangsiapa yang menunjukkan satu jalan yang baik lalu orang mengikut jalan itu, dia akan mendapat pahala kerana menjalankan tugasnya dan dia mendapat pahala selagi ada orang yang mengikutnya sehingga hari kiamat.

Dan barangsiapa yang menunjukkan jalan yang buruk,maka dia berdosa kerana melakukan kerja itu dan menerima tanggungjawab dosa yang sama dengan orang yang mengikutnya sehingga hari kiamat.

Sesungguhnya, penyampaian melalui tulisan yang dicatit lebih berpanjangan dari ucapan yang diungkapkan. Maka, peranan ICT dalam menegakkan Islam sangat besar.

Terutamanya, teknologi maklumat menjadikan dunia yang lebih luas ini seolah perkampungan yang sempit.

Maklumat disebarkan dengan mudah, dicapai dengan mudah, maka kita juga menjadi sasaran.

Bukan sahaja kita menunaikan tanggungjawab menerang, tapi kita juga diserang. Disini, kita memerlukan kebijaksanaan dalam menangani keadaan semasa.

Kita diwajibkan untuk menggunakan uslub menerang lebih banyak daripada menyerang kerana matlamat kita adalah untuk menyelamatkan manusia.

Bukan untuk menuduh dan menghukum orang walaupun kita boleh menuduh dan menghukum orang itu.

Sekiranya menuduh dan menghukum itu membawa fitnah maka dosanya adalah besar. Sila buka kitab Riyaadus Solihin. Terjemahannya ada dalam bahasa kita.

Imam Nawawi menyebut satu hadith dimana Rasulullah SAW diwahyukan melalui mimpi. Mimpi seorang Rasul adalah benar dan wahyu daripada Allah.

Rasulullah SAW melawat neraka dan dilihat mereka yang diseksa dalam neraka itu, orang yang berzina dan memakan riba’ dan menyebarkan maklumat yang buruk sehingga perbohongan itu tersebar dengan luas, apatah lagi maklumat itu menjadi fitnah.

Dilihat seorang yang disangkut dengan penyangkut besi didagunya menembusi pipi dan mata diseksa didalam neraka, bila ditanya siapa itu, itulah penyebar maklumat bohong diseluruh pelusuk.

Disini, memberi peringatan kepada kita betapa kita perlu berhati-hati, apatah lagi kita adalah parti Islam yang menjadi model dan dilihat oleh orang lain.

Kesalahan satu titik dianggap kubah yg besar. Kesalahan yang kecil dibesarkan laksana bukit yang kukuh. Apa yang betul ditutup dan kita perlu bersabar dalam melaksanakan tugas.

Peranan dalam ICT sangat besar. Kita melihat sendiri perubahan politik dalam negara kita.

Kita mencapai kejayaan di kawasan-kawasan bandar dan pinggir bandar. Mencapai kejayaan dalam kalangan mereka yang terpelajar tapi kita gagal mempengaruhi mereka yang jahil dan lalai.

Kejayaan itu kerana kita menganggap mereka yang menggunakan teknologi maklumat dan membawa kepada perubahan pemikiran.

Kita tidak cukup dengan itu sahaja. Kita perlu menambah kadar pengaruh kita dan memikirkan bagaimana maklumat kita dapat disampaikan kepada seluruh rakyat .

Dengan sebab itu, kajian-kajian yang dibuat dalam masyarakat kita, tidak boleh samakan dengan masyarakat di barat. Iaitu masyarakat yang bermaklumat, berilmu dan mempunyai ilmu pengetahuan.

Kita hanya mengambil maklumat sekadar mereka yang mempunyai internet dan handphone. Itu hanyalah segelintir.

Sedangkan satu bahagian yang lebih besar, dikawasan-dikawasan pendalaman, di rumah-rumah setinggan, pekerja petani dan nelayan, merekalah yang menentukan perubahan politik dalam negara.

Muda-mudi pula dihantui dengan hiburan yang melekakan, kerana itu kita perlu selamatkan dan tanggungjawab kita dalam hal ini sangat besar.

Dan terpenting, bukan sahaja kita bekerja dalam bidang teknologi maklumat tetapi kita mesti berusaha untuk menyampaikan maklumat itu ke bawah dengan seluas-luasnya.

Alhamdulillah, PAS sudah mencapai kemajuan dan mendahului parti-parti yang lain termasuk parti BN yg memerintah.

Mereka memang bergantung dengan jentera-jentera kerajaan. Tetapi, kita bergantung dengan jentera dan tenaga kta sendiri yang tidak seberapa.

Tetapi, sering kali Allah menjadikan kemenangan Islam itu dalam keadaan yang tidak seimbang.

Musuh yang lebih kaya, lawan yang lebih canggih alat yang lebih, kebendaan yang lebih banyak dan tenaga yang lebih ramai sehingga empat kali ganda.

Tetapi Allah SWT menyatakan, “Dan bersedialah kamu dengan sekadar kemampuan kamu daripada kekuatan”.

Sering kali kekuatan itu ditafsirkan dengan alat senjata untuk berperang termasuklah kekuatan itu adalah alat untuk menyampaikan maklumat dan menyediakan kekuatan sekadar kemampuan yang ada pada kita.

Mereka yang mempunyai kelebihan mestilah menyumbang dengan ikhlas dan jangan menyembunyikan apa yang ada pada dirinya kerana kemampuan kita diketahui oleh Allah SWT.

Mereka laksanakan tugas dengan ikhlas, semua keikhlasan itu lahir dalam hati sanubari. Kita tidak boleh mengubah hati dan pemikiran manusia melainkan keikhlasan yang ada dalam hati sanubari kita.

Disinilah rahsia kemenangan Islam. Kita melihat sendiri nikmat yang ada dalam PAS. Kita mencapai kejayaan yang besar lebih daripada jangkaan dan kekuatan yang sebenar.

Mengapa? Kerana disana ada pertolongan dari Allah SWT. Walaupun dalam perhitungan pilihanraya ada pasang surut. Ada musim kita menang dan kalah.

Pilihanraya kecil, ada kawasan yang kita menang dan kita kalah. “Itulah hari yang silih berganti dikalangan manusia”
Namun kita perlu menyedari sebenarnya kemajuan kita berterusan.

Tiada berkurangan. Pilihanraya tidak boleh menjadi ukuran dan sukatan. Ukuran kefahaman masyarakat terhadap kita lebih penting.

Sebenarnya kita mendapat kemenangan moral dan besar di Bagan Pinang kerana BN terpaksa meletakkan calon yang tidak bermoral untuk mendapat kemenangan.

Walaupun kita merasakan natijahnya yang zahir namun disana terdapat kemenangan yang tersirat kurnia daripada Allah SWT.

Perubahan boleh berlaku sekiranya maklumat dapat disampaikan kepada rakyat. Maka peranan ICT sangat penting dalam menyampaikan maklumat ini.

Tidak cukup dengan majlis ceramah dan usrah sahaja kerana kita tidak boleh masuk ke dalam semua rumah. Tetapi ICT boleh menyalurkan maklumat dengan pelbagai cara dan lebih luas dan moden.

Disini, pihak ICT perlu membuat muhasabah, kajian dan perhitungan. Kita tidak boleh melihat yang lama sahaja.

Kita mesti mengejar kemajuan yang dicapai dalam bidang ini dan bersama dengan kemajuan itu. Kalau boleh kita mendahului lawan dalam perkara ini.

Alhamdulillah, Jabatan IT PAS Pusat sudah mencapai 10 tahun, satu usia yang sangat bermakna kepada kita.

Sudah tentu keadaannya lebih baik daripada mula ia ditubuhkan. Tidak cukup dengan keadaan yang ada bahkan mesti berusaha untuk mencapai yang lebh baik dan maju lagi.


Mudah-mudahan majlis ini diberkati oleh Allah SWT dan segala amal diterima olehNYA.

Sabda Nabi Muhammad SAW, “Teruskan perjalanan dengan mendapat keberkatan daripada Allah”. Kita rasmikan majlis ini.

Wabillahi Taufiiq Wal Hidayah, Assalamu’alaikum wrt wbt

http://www.harakahdaily.net

Mengurus Persepsi . vol 2
21:22 | Author: ::. Wan Yaakub Wan Abdullah .::
Iktibar dari Sirah
1. Saya setuju betapa sebahagian persepsi mesti diambil kira , terutama apabila dilihat kepada kesan atau implikasi yang mengundang mudharat lebih umum .
2. Nabi kita Muhammad saw pernah menghalang Saidina Umar rha membunuh Abdullah bin Ubai [ sang munafiq ] kerana bimbang timbul satu persepsi bahawa Muhammad membunuh ummatnya sendiri ekoran Abdullah bin Ubai mengaku muslim malah solat di belakang Nabi saw.
3. Nabi saw tidak bertindak biarpun Abdullah bin Ubai layak dibunuh kerana menjadi musuh dalam selimut dan sering melancarkan gerakan sabotaj terhadap perjuangan baginda saw. Ini satu dari bentuk pengurusan persepsi yang telah dipraktis oleh Rasulullah saw untuk mengelak fitnah yang lebih mudharat berbanding membiarkan sang munafiq itu terus hidup .
4. Hidupnya sang munafiq itu satu mudharat besar kepada perjuangan Rasulullah tetapi persepsi yang bakal tercetus bahawa Muhammad membunuhnya ummatnya [ jika Abdullah bin Ubai dibunuh ] adalah fitnah yang bakal merentasi berpuluh generasi bahkan mungkin sampai kiamat persepsi negatif ini akan dimainkan oleh musuh - musuh Islam .
5. Saidina Umar rha juga pernah memarahi sepasang suami isteri yang berdua - duaan ditempat sunyi bimbang timbulnya persepsi negatif [ fitnah ] terhadap mereka sedang fitnah itu adalah suatu yang sungguh dahsyat akibatnya . الفتنة أشد من القتل
6. Peristiwa seperti ini menjadi contoh bagaimana sebahagian persepsi wajib diambil kira oleh kita , terutama apabila kesan dari persepsi itu mengundang mudharat yang lebih besar [ dan mungkin kekal ] berbanding mudharat yang terhasil dari perkara atau isu yang sedang dihadapi .
7. Namun dalam keadaan tertentu , persepsi diabaikan begitu sahaja terutama apabila persepsi itu negatif terhadap suatu yang bersifat prinsipal [ yang tiada tolak ansur ] . Sebagai contoh apabila Nabi saw pulang dari Isra' dan Mikraj , Baginda telah dinasihatkan oleh Ummu Hani [ sepupu baginda saw ] agar tidak menceritakan pengalaman baginda melalui Isra' dan Mikraj . Ummu Hani bimbang timbul satu persepsi negatif bahawa Muhammad saw adalah gila dan pembohong jika diceritakan kisah luar biasa itu .
8. Namun prinsip Rasulullah saw ialah tabligh [ menyampaikan ] , tidak mungkin Baginda saw menyembunyikan apa yang telah menjadi wahyu Allah untuk disampaikan kepada ummah . Peristiwa sepanjang Isra' dan Mikraj sebahagian dari wahyu Allah swt untuk mendidik manusia agar taat dan tunduk kepada Allah swt . Nabi saw akhirnya tidak memperdulikan apakah persepsi yang bakal terbentuk dikalangan masyarakat arab pada waktu itu lalu terus bertemu masyarakat dan menceritakan segala - galanya .
9. Ternyata persepsi buruk tercetus malah fitnah melanda ummat Islam pada waktu itu yang mula terpengaruh dengan persepsi yang dibentuk oleh Abu Jahal kononnya Muhammad adalah pembohong dan gila . Ianya bermula apabila Nabi saw menceritakan bahawa baginda naik ke langit dan pulang semula ke Makkah dalam tempoh satu malam . Nabi saw adalah pesuruh Allah dan mustahil nabi bersikap bodoh untuk sengaja menceritakan perkara luar biasa yang pastinya mengundang persepsi buruk masyarakat terhadap baginda saw. Tetapi ini prinsip ! biarpun bakal berdepan dengan persepsi yang negatif , Nabi saw tetap menjalankan tugasnya sebagai seorang rasul iaitu menyampaikan wahyu Allah swt .
10. Mungkin sebahagian ahli politik hari ini tidak akan bertindak sebagaimana tindakan Nabi saw sekalipun ia berkait dengan prinsip kerana bimbangkan persepsi . Persepsi telah menjadi senjata yang paling tajam untuk membunuh . Membunuh sebuah perjuangan . Persepsilah yang melumpuhkan perjuangan Islam diseluruh dunia mutaakhir ini apabila pejuang - pejuangnya dilabelkan Taliban , al Qaedah , KMM , ekstrim , terorrist dan lainnya .
11. Sebagaimana Rasulullah saw yang sangat dipercayai oleh Kaum Quraisy sehingga digelar al Amin , tiba - tiba menerima persepsi yang sangat buruk yang akhirnya baginda digelar tukang sihir , gila dan pemecah belah masyarakat semata - mata kerana baginda saw konsisten menentang jahiliyyah dan memerangi kebathilan .
12. Malah hari pertama baginda membawa ajaran tauhid ini kepada masyarakat quraisy di atas bukit safa , baginda telah di ancam :

يا محمد هذا الأمر تكرهه الملوك و تحاربك العرب و العجم

Wahai Muhammad , apa yang kamu bawa ini adalah suatu yang sangat dibenci oleh para pembesar dan kelak kamu akan diperangi oleh orang - orang Arab dan bukan arab .
13. Biarpun persepsi masyarakat telah berubah terhadap baginda , namun demi prinsip perjuangan Islam ini , Nabi saw terus istiqamah dan thabat [ konsisten ] memacunya sehingga Nabi saw pernah bersabda kepada bapa saudaranya Abu Talib :

يا عمي و الله لو وضعوا الشمس في يميني و القمر في يساري على أن أترك هذا الأمر ما تركته أو أهلك دونه

Wahai bapa saudaraku , Demi Allah jika sekiranya mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan ditangan kiriku supaya aku meninggalkan perjuangan ini , nescaya tidak akan ku tinggalkan [ sehingga Islam ini menang ] atau aku binasa kerananya [ syahid ] .
14. Ertinya Nabi saw tidak pragmatik untuk menukar haluan perjuangan atau memperlahankan rentak perjuangan semata - mata kerana mengambil kira persepsi masyarakat jahiliyyah pada waktu itu . Sebaliknya Nabi saw tegas dan berani mengambil risiko demi membawa misi menyelamatkan aqidah ummah .
15. Demikian persepsi diurus oleh nabi saw apabila berdepan prinsip perjuangan . Bukan sahaja Nabi saw mengabaikan persepsi tersebut tetapi Baginda saw tidak langsung terkesan dengan apa yang orang lain nak kata , apa yang penting ialah dasar dan prinsip perjuangan diteruskan malah digerakkan dengan lebih aktif.

http://episodeperjuangan.blogspot.com/
Mengurus Persepsi . vol 1
05:17 | Author: ::. Wan Yaakub Wan Abdullah .::
1. Akhir - akhir ini selalu kedengaran orang bercakap soal politik itu adalah persepsi . Baru - baru ini isu persepsi jua menjadi perbahasan penting dalam Seminar Pemerkasaan Parti [ PAS ] di Taman Melewar . [ 7 Nov 2009 ]

2. Paling ekstrim apabila Dr Abu Hassan menegaskan bahawa , barangsiapa menolak persepsi maka ia adalah primitif . Justeru persepsi pada abad ini mesti diterima sebagai informasi .

3. Ramai juga sahabat bertanya saya mengenainya sekaligus meminta saya komen berkait Seminar Pemerkasaan Parti [ PAS ] baru - baru ini .

4. Terus terang saya nyatakan , bahawa saya sangat berpuas hati dengan seminar tersebut dan mengharapkan agar segala kemelut yang berlaku juga telah berakhir dengan berakhirnya seminar itu . Perbahasan telah dilakukan , luahan perasaan juga telah dihamburkan , jawab balas juga telah diterima , emosi turut dilepaskan , majlis telah digulung dan resolusi telah diwarta , maka apa lagi yang tertinggal ? saya secara peribadi benar - benar puas hati biarpun agak teruk juga menjadi sasaran kritik . Entah dari mana datangnya rasa seronok di kritik sedemikian . Mungkin kerana ini pengalaman pertama dikrtitik secara terbuka untuk seluruh dunia menyaksikannya .

5. Selepas ini bergantung kepada sikap kita semua . Kita mahu buat perubahan atau tidak ? Pada saya , seminar ini menjadi titik nokhtah untuk kita [ pemimpin dan anggota ] muhasabah diri dan sekaligus menjadi motivasi guna meningkatkan prestasi daya juang dan menjadi lebih pro aktif menyahut cabaran .

6. Lemah kita perteguhkan , silap kita baiki dan kurang kita tambah . Malah kita belajar dari pengalaman semalam untuk menyusun strategi pada hari ini demi mencapai matlamat di hari esok . Insyaallah inilah yang saya dan rakan - rakan exco DPPP akan lakukan secepat mungkin . Kita ambil langkah positif demi memastikan segala misi dan visi perjuangan kita dapat dicapai . Setidak - tidaknya kita meneruskan langkah menyambung nafas perjuangan suci ini .

7. Terlebih dahulu mewakili DPPP , saya rakam setinggi - tinggi terima kasih kepada semua pihak yang telah mengkritik dan memberi in put bermakna buat DPPP . Usah risau mengenai sikap kami . Kami kejap berpegang kepada apa yang diajar oleh Allah swt bahawa , sebagai seorang mukmin sewajarnya kami mendengar semua kritikan , semua persepsi , semua informasi serta semua cadangan dan kemudiannya kami nilai , teliti serta halusi lalu kami akan ambil , terima , kutip dan pakai apa yang terbaik daripadanya .

الذين يستمعون القول فيتبعون أحسنة

8. Sebahagian dari pengurusan persepsi ialah tabaiyyun [ nilai , teliti , halusi dan siasat kebenarannya ] justeru persepsi tidaklah bersifat mutlak atau mesti terima . Malah selain tabaiyyun , pengurusan persepsi jua mesti melihat kepada bagaimana persepsi dihasilkan dan apakah kesan langsung berkait persepsi tersebut . Lantaran persepsi itu mungkin salah tetapi jika diabaikan membawa mudharat demikian juga sebaliknya persepsi itu mungkin benar tetapi jika diterima , ia akan memberi pulangan yang negatif .

9. Bahkan sebahagian daripada persepsi itu memang salah dan berdosa sementara sebahagian yang lain itu benar . Firman Allah swt : [ al Hujurat : 12 ]

يا يها الذين ءامنوا اجتنبوا كثيرا من الظن إن بعض الظن إثم
و لا تجسسوا و لا يغتب بعضكم بعضا
أيحب أحدكم أن يأكل لحم أخيه ميتا فكرهتموه و اتقوا الله إن الله تواب رحيم

Wahai orang - orang yang beriman , jauhilah akan kebanyakan dari sangkaan [ persepsi ] sesungguhnya sebahagian sangkaan [ persepsi ] itu adalah dosa [ salah ] . Janganlah kamu mencari kesalahan orang dan jangan kamu mengumpat sebahagian kamu akan sebahagian yang lain . Apakah kamu suka memakan daging saudara kamu yang telah mati ? tentunya kamu enggan [ jijik ] melakukannya ! justeru itu takutlah [ taqwa ] kepada Allah swt , sesungguhnya Allah swt Maha menerima taubat lagi Maha Penyayang .

10. Ayat diatas menunjukkan sebahagian besar dari persepsi itu adalah salah dan dosa kecuali pada keadaan - keadaan tertentu yang umum dan mudah dilihat kebenarannya , maka persepsi itu diambil kira . Ini adalah kerana Islam sangat mementingkan ketepatan , kebenaran , bukti , suatu yang nyata dan jelas sekaligus menolak kesamaran , andaian , agak - agak dan sangkaan bimbang tersalah langkah dan tersasar dalam bertindak .

Sebelum kita bercakap soal persepsi atau politik persepsi pada hari ini , al Quran terlebih awal telah mendedahkan perkara ini dan meletakkan kaedah bagaimana mahu mengurus persepsi . Insyaallah , saya akan sambung selepas ini perbicaraan berkait pengurusan persepsi ...

to be continue

http://episodeperjuangan.blogspot.com/