UMNO Kantoi Lagi
19:33 | Author: ::. Wan Yaakub Wan Abdullah .::

1.Akhir - akhir ini agak kasar dan keras bentuk "serangan politik" yang dilakukan oleh UMNO dan BN ke atas PAS dan Pakatan Rakyat . Media cetak dan elektronik pastinya menjadi "peluru tembaga" yang cuba untuk mensasarkan kekebalan "jantung" Pakatan Rakyat.

2. Modus operandi mereka cukup mudah untuk dibaca kerana ia diatur dan digerakkan dalam keadaan cemas dan terdesak demi meningkatkan kembali reputasi mereka yang jatuh teruk dan meraih semula kepercayaan rakyat kepada prestasi mereka.

3. Tindakan UMNO dan BN mutaakhir ini demi memburukkan nama baik PAS semakin liar dan kelihatan tidak terkawal. Baru - baru ini ditimbulkan isu doa kepada Lim Guan Eng dalam khutbah jumaat yang kononnya salah dan bertentangan dengan Islam malah didakwa cuba menggantikan nama Yang di Pertuan Agong. Akhirnya mereka kantoi apabila didedahkan perbuatan doa malah membaca Yassin dan solat hajat yang dilakukan oleh UMNO buat calon BN Kamalanathan di Hulu Selangor dalam pilihanraya kecil baru - baru ini .

4. Sedang doa yang dibacakan oleh Al Fadhil Ustaz Zakaria Ahmad dalam khutbahnya adalah untuk memohon hidayah Allah swt kepada Lim Guan Eng agar Lim Guan Eng menerima Islam . Satu doa yang terpuji dari pandangan agama Islam agar pemimpin itu diberikan hidayah .

5. Terkini UMNO dan BN memainkan isu Yb Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang masuk surau dan ia dianggap sebagai suatu yang terlarang . Mereka menggambarkan kononnya MP Serdang itu menyampaikan "tazkirah" kepada ummat Islam di surau tersebut . Sepantas itu pihak JAIS dan MAIS bertindak disamping turut menyelar tindakan tersebut . Lebih malang mereka cuba mengheret pihak ke bawah Duli Yang Maha Mulia sultan Selangor untuk kepentingan politik mereka .

6. UMNO kantoi lagi apabila Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke 90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 telah membincangkan Hukum Pelancong Bukan Islam Memasuki Masjid dan Ruang Solat Utama di dalam Masjid. Muzakarah tersebut telah memutuskan bahawa :

pelancong bukan Islam diharuskan memasuki Masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan senantiasa terkawal dan beradab. Walaubagaimana pun perbuatan berdoa atau bertafakkur oleh pelancong bukan Islam mengikut cara agama mereka dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah adalah dilarang.

7. Tindakan dan sikap yang diambil oleh Pengarah JAIS Khusrin Munawi dan Pengerusi MAIS Mohamad Adzib Mohd Isa yang tidak membenarkan non muslim memasuki masjid dan surau adalah bertentangan dengan fatwa yang telah diputuskan baru - baru ini .

8. Sebelum ini Khusrin Munawi juga menolak keras cadangan saya yang mewakili Dewan Pemuda PAS Pusat agar Nikah Khitbah dipopularkan sebagai salah satu kaedah atau pendekatan untuk mengatasi bencana sosial yang melanda negara .

9. Kegagalan mereka memberi gambaran dan nasihat yang betul dan tepat ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Negeri Selangor berhubung kes ini adalah sangat dikesali dan ia dianggap sebagai suatu kegagalan ketara dalam menjalankan tugas .

10. Sikap yang saya ambil bukan kerana mahu mepertahankan MP Serdang tersebut tetapi satu sikap dan tindakan yang berasaskan ilmu . Jika ianya satu tindakan yang tidak menyalahi hukum Islam kenapa saya mesti membantahnya. Sebab itu , saya nasihatkan semua pihak agar bertindak dan memberi pandangan mestilah berasaskan ilmu dan Islam adalah agama ilmu bukan agama emosi dan fantasi . [ perbahasan agama dalam perkara ini , saya akan lampirkan dalam posting saya akan datang insyaallah ...]

11. Saya melihat Khusrin dan Mohd Adzib wajar memberi perhatian bagaimana mereka boleh bertindak untuk meningkatkan kefahaman dan kesedaran ummat Islam yang masih ramai melanggar syariat Islam . Masih ramai isteri - isteri pemimpin negara yang beragama Islam tidak menutup aurat ketika menghadhiri majlis - majlis rasmi negara samaada di dalam masjid atau di luar masjid. Perlu diingat bahawa malaikat Allah yang mencatat rekod perilaku ummat manusia bukan hanya beroperasi di dalam masjid sahaja .

12. Sepanjang bulan Ramadhan ini saya melihat bagaimana pusat - pusat hiburan masih beroperasi sehingga ke awal pagi dan kelihatan ummat Islam yang derhaka tidak segan silu mengunjunginya. Sepatutnya dalam hal seperti ini , Khusrin dan Mohd Adzib menasihati ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan agar Baginda murka dan mengambil tindakan tegas ke atas muslim derhaka kerana ia lebih menghina Islam dan kesuciannya .

13. Saya telah meminta pihak sekteriat Dewan Pemuda PAS Pusat supaya menganjurkan Nadwah Kefahaman Islam [ NKI ] bersiri setiap bulan untuk menjelaskan apa jua isu yang timbul dalam negara kita menurut perspektif Islam dan disiplin ilmunya . Sebagai contoh isu berkait hukum hudud , nikah khitbah dan lain - lain termasuk hukum non muslim memasuki masjid semuanya boleh ditimbulkan dalam nadwah tersebut . Kita akan undang tokoh - tokoh penting yang sering salah faham terhadap Islam atau keliru mengenainya untuk menghadhiri siri nadwah yang akan kita anjurkan kelak .

14. Kini Dewan Pemuda PAS Pusat telah bersedia dengan segala keupayaan dan kemahiran untuk menangani dan mengurus isu serta konflik yang melibatkan hukum Islam secara ilmiah , bersemuka , dialog dan hujjah .

15. Apa jua keadaan yang agama benarkan maka kita benarkan walau ia melibatkan orang lain . sementara keadaan yang bertentangan dengan agama , kita tetap akan kata salah walau ia melibatkan diri kita sendiri . Ini prinsip perjuangan saya dan rakan - rakan Dewan Pemuda PAS Pusat .

20 Ramadan 1431, 30 Ogos 2010

www.episodeperjuangan.blogspot.com

Nikah Khitbah satu Alternatif
23:42 | Author: ::. Wan Yaakub Wan Abdullah .::


Permudahkan Nikah Cegah Penzinaan

1. Sedang pelbagai pihak seperti buntu mencari penyelesaian kepada barah sosial yang menjurus kepada pergaulan dan seks bebas [ zina ] serta rogol dan buang bayi berleluasa pada hari ini , Dewan Pemuda PAS menyarankan satu program atau projek besar iaitu " Taysir az Ziwaj " dilaksanakan , khasnya oleh pihak berwajib.

2. Taysir Az Ziwaj ialah " Permudahkan Proses Perkahwinan " terutama kepada anak - anak muda yang tidak berkemampuan dari segi material untuk mendirikan rumahtangga tetapi dalam masa yang sama mempunyai keinginan yang tinggi untuk hidup berpasangan .

3. Islam adalah agama yang penuh dengan rahmah dan berkah. Ia diutuskan oleh Allah swt Tuhan yang mencipta manusia bukan untuk menghalang atau menidakkan keperluan manusia seperti keinginan [ nafsu ] syahwah dan sebagainya tetapi Islam datang untuk membetulkan dan memandu manusia agar melunas keinginannya secara yang betul , benar dan baik .

4. Gejala seks bebas [ zina ] dan rogol adalah angkara nafsu yang tidak terkawal dan ia disalurkan secara tidak betul , tidak benar dan membawa keburukan kepada diri dan orang lain . Sedang Islam menggalakkan perkahwinan [ aqad nikah ] agar hati manusia tenteram dan tenang serta nafsu dapat dikawal . Ini membawa kebaikan kepada semua ummat manusia .ala

Firman Allah swt yang bermaksud :

dan kahwinkanlah orang - orang bujang [ lelaki dan perempuan ] dari kalangan kamu dan orang - orang yang soleh dari hamba - hamba kamu , lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin , Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah swt Maha Luas rahmat dan kurniaNya lagi Maha Mengetahui .

An Nuur : Ayat 32

5. Perkahwinan yang digalakkan oleh Islam ini sewajarnya dipermudahkan prosesnya agar generasi muda negara tidak liar dan kemaruk nafsu lalu terjebak dalam kancah seks bebas [ zina ]. Memudahkan prosesnya boleh dilakukan oleh pihak berwajib [kerajaan] seperti [ sekadar menyebut beberapa contoh ] :

  • Memberi peruntukan kepada pasangan muda yang ingin berkahwin
  • Memberi insentif sebagai galakan berkahwin
  • Mengurangkan karenah birokrasi yang menyulitkan
  • Kursus dan khidmat bimbingan perkahwinan secara percuma
  • Menganjurkan perkahwinan beramai - ramai yang menjimatkan
  • Mendidik masyarakat dengan budaya sederhana dalam majlis perkahwinan
  • Merendahkan hantaran perkahwinan
6. Antara kaedah mempermudahkan proses perkahwinan ini ialah Nikah Khitbah atau dalam bahasa mudah disebut oleh masyarakat kita sebagai Nikah Gantung . Nikah Khitbah adalah sama seperti nikah biasa mengikut hukum dan perundangan Islam yang mempunyai 5 rukunnya iaitu :

  • Suami
  • Isteri
  • Wali
  • Saksi
  • Aqad [ Ijab Qabul ]
cuma bezanya ialah pasangan pengantin [ suami isteri ] tidak tinggal serumah dalam tempoh - tempoh tertentu kerana beberapa keadaan seperti [sekadar menyebut beberapa contoh] :

  • Masih menuntut di kolej atau uniersiti
  • Tidak mempunyai kemampuan menyewa rumah
  • Belum bersedia menanggung komitmen kehidupan berumahtangga
justeru itu , buat tempoh tertentu pasangan suami isteri yang telah dinikahkan itu tinggal berasingan [ atas persetujuan bersama kedua - dua pihak ] dan barangkali tinggal bersama keluarga masing sehinggalah mereka merasakan segala halangan diatas telah selesai dan mereka benar - benar bersedia mengharungi kehidupan berumahtangga yang besar tanggungjawabnya.

7. Kelebihan Nikah Gantung ini ialah mereka adalah pasangan suami isteri yang sah mengikut hukum agama dan undang - undang negara . Andai dalam tempoh itu mereka bertemu , keluar makan , dating , study bersama bahkan kalau mereka terlanjur sekalipun mengadakan hubungan seks , maka apa yang mereka lakukan itu tidak salah atau tidak haram .

8. Andai berlaku kehamilan , maka pasangan itu tidak perlu panik terutama pihak gadis yang hamil kerana ia menghamilkan anaknya yang sah nasab [ keturunan ] . Bahkan nanti mereka tidak perlu malu dan menjauhkan diri dari keluarga kerana keluarga pula akan menyambut kedatangan bayi itu dengan bangga dan bermaruah .

9. Kes buang bayi yang berleluasa hari ini rata - ratanya adalah ekoran rasa panik dan hilang pertimbangan akibat malu dan hilang maruah dari pasangan terbabit. Malah mereka juga takut untuk kembali kepangkuan keluarga justeru mereka mengetahui bahawa hubungan mereka salah dan mereka hamil hasil hubungan terlarang . Ia memalukan keluarga dan mencemarkan maruah bangsa dan agama . Akhirnya , jalan pintas dan terdesak yang ada pada mereka ialah buang bayi tersebut dengan harapan selesai masaalah dan beban yang mereka hadapi tanpa mereka menyedari bahawa akan mencetus bencana yang lebih parah kepada sosial negara .

10. Sebenarnya Nikah Khitbah ini pernah dilakukan dalam masyarakat Arab . Menurut amalan tersebut , sewaktu majlis pertunangan , ia dilangsungkan sekali dengan majlis aqad nikah [ halflun nikah ] tetapi mempelai tidak boleh tinggal sekali [serumah] sehingga berlangsungnya pula majlis perkahwinan [haflul Qiran] . Terkadang tempoh itu [ antara pertunangan dan perkahwinan menjangkau tahun lamanya.]

11. Dalam masyarakat Melayu , amalan ini sebenarnya pernah diamalkan sebelum ini dengan nama Nikah Gantung . Ia pernah di kaji oleh beberapa Anthropologist seperti Paletz , Djamour dan Jones. Mereka mengistilahkan Nikah Gantung sebagai "Suspended Marriage Contract" iaitu satu fenomena sosial yang diamalkan oleh masyarakat Islam di Asia tenggara .

12. Malah menurut Abdul Jalil Borhan , perkara yang berkaitan dengan Nikah Gantung terdapat dalam seksyen 112 [dalam bahagian 5] enakmen Pentadbiran Agama Islam Johor.

Perbahasan Hukum

13. Salah satu dalil yang digunakan oleh sebahagian para alim ulama' ialah Perkahwinan Rasulullah saw dengan Aishah rha. menurut hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim , Rasulullah saw telah mengahwini Aishah ketika berumur 6 tahun dan hanya duduk serumah ketika Aishah berumur 9 tahun . Hadis ini menjadi dalil berlakunya aqad nikah , maka bukan menjadi kewajipan bagi mempelai untuk terus tinggal serumah terutama atas persetujuan kedua pihak untuk beberapa tempoh yang dipersetujui.

14. Apabila pasangan pengantin [ nikah gantung ] bersetuju untuk tinggal berasingan kerana beberapa perkara yang diambil kira seperti yang saya sebutkan di atas tadi , maka tidaklah berbangkit isu nafkah batin [ jima' \ bersetubuh ] . Apa yang timbul ialah perbahasan dari segi nafkah zahir [ material ] . Berkait perkara ini , kita mempunyai beberapa pandangan :

a] Mazhab Zahiri seperti yang dinyatakan oleh Ibn Hizam iaitu nafkah ini [ nafkah zahir ] wajib dengan berlakunya aqad , maka selepas sahaja aqad nikah , suami wajib memberi nafkah zahir kepada isterinya .

b] Pandangan Jumhur ulama' iaitu nafkah zahir itu hanya wajib apabila isteri memenuhi syarat - syarat tertentu seperti isteri menyerahkan diri kepada suami [ berpindah ke tempat suami ] , boleh melakukan istimta' [ mengambil keseronokan] , jima' [ bersetubuh ] , isteri tidak keluar rumah tanpa izin suami dan seumpamanya .

15. Nikah khitbah dapat disimpulkan bahawa : bebanan nafkah itu tidak diwajibkan ke atas suami sekiranya kehidupan biasa suami isteri belum berlaku . Bagaimanapun sekiranya suami isteri tersebut keluar bersama , maka tiada halangan dari segi hukum syara' kerana mereka adalah suami isteri yang sah. Demikian juga andai berlaku kehamilan maka bayi itu sah dan mereka boleh menjalani kehidupan berkeluarga seperti biasa yang sah. Tidak perlulah mereka melarikan diri , buang bayi dan menggugurkan bayi atau membunuhnya .

16. Tegasnya saya sebutkan disini , terutama kepada pihak berkuasa agama , ibu bapa dan seluruh anggota masyarakat termasuk anak - anak muda agar mereka kembali kepada cara hidup Islam . Walaupun nikah gantung ini kelihatan seperti baru dalam negara kita bagi sesetengah pihak , tetapi ia lebih baik dari kita membiarkan anak - anak gadis dan teruna kita berpeleseran , bergaul bebas lalu akhirnya mereka terjebak dalam kancah seks bebas dan penzinaan yang memalukan . Bukan sahaja maruah keluarga dan agama tercalar , murka Allah swt itulah yang paling ditakuti .

15 Ramadan 1431h

http://episodeperjuangan.blogspot.com/
Khutbah Nabi saw mengenai Ramadhan
19:30 | Author: ::. Wan Yaakub Wan Abdullah .::

Khutbah Nabi saw mengenai Ramadhan

Wahai manusia! Sungguh telah datang kepada kalian bulan ALLAH dengan membawa berkat, rahmat dan keampunan. Inilah bulan yang paling afdhal di sisi ALLAH. Hari-harinya adalah hari-hari yang paling afdhal. Malam-malamnya adalah malam-malam yang paling afdhal. Detik-detiknya adalah detik-detik yang paling afdhal.

Inilah bulan di mana kamu semua diundang menjadi tetamu ALLAH. Inilah bulan di mana kamu semua dimuliakan olehNYA. Di bulan ini nafas-nafasmu dihitung sebagai tasbih. Tidurmu dihitung sebagai ibadah. Amal-amalmu diterima. Doa-doamu dimakbulkan.

Bermohonlah kepada TUHANmu dengan niat tulus dan hati yang suci agar DIA membimbingmu ketika menjalani puasa dan membaca KitabNYA yang mulia.

Celakalah orang yang tidak mendapat keampunan ALLAH di bulan yang agung ini.

Kenanglah kelaparan dan kehausan di hari kiamat ketika kamu rasa lapar dan dahaga ketika berpuasa di bulan ini. Bersedekahlah kepada faqir dan miskin. Muliakan orang yang lebih tua dari kamu. Sayangi yang lebih muda dari kamu. Sambungkanlah tali persaudaraan sesama ummah.

Jaga lidahmu. Tahan pandanganmu dari apa yang tidak halal dipandang. Tahanlah telingamu dari apa yang tidak halal didengar.

Kasihilah anak-anak yatim, nescaya anak-anak yatimmu dikasihi manusia setelah kematianmu.

Bertaubatlah kepada ALLAH dari dosa-dosamu. Angkatlah tangan-tanganmu untuk berdoa pada waktu-waktu solatmu. Itulah saat yang paling utama kerana ketika itulah ALLAH AZZA WA JALLA memandang hamba-hambaNYA dengan penuh kasih sayang. DIA mendengar kita ketika kita berbisik-bisik (munajat) kepadaNYA. DIA datang kepada kita ketika kita memanggilNYA. DIA mengabulkan doa-doa kita ketika kita berdoa kepadaNYA.

Wahai manusia! Sesungguhnya dirimu tergadai kerana perbuatanmu. Bebaskan dirimu dengan banyak-banyak memohhon ampun (beristighfar) kepadaNYA. Bahumu berat menanggung beban dosa-dosamu. Dengan itu, ringankanlah bebanmu dengan bersujud lama-lama. Ketahuilah! Sesungguhnya ALLAH SWT bersumpah dengan kemuliaanNYA bahawa DIA tidak akan menyiksa orang-orang yang mendirikan solat dan orang-orang yang bersujud. DIA juga bersumpah bahawa DIA tidak akan menghumban mereka ke dalam api neraka pada hari manusia dibangkitkan menuju TUHAN sekalian alam.

Wahai manusia! Barangsiapa di antara kamu memberi buka (ifthar) kepada orang-orang mukmin yang berpuasa di bulan ini, maka di sisi ALLAH nilainya sama dengan membebaskan seorang hamba. Dia juga diberi ampunan atas dosa-dosanya yang lalu. Sahabat-sahabat ra bertanya : “Ya RasulALLAH! Tidak semua kami mampu berbuat demikian”. RasulULLAH saw bersabda : “Jagalah dirimu dari api neraka walaupun dengan setengah belahan buah kurma. Jagalah diri kamu dari api neraka walaupun dengan seteguk air. Sesungguhnya ALLAH SWT tetap memberi pahala kepada orang yang beramal walaupun sedikit amalnya, jika ia benar-benar tidak mampu melakukan lebih dari itu.”

Wahai manusia! Siapa yang memperindah akhlaknya di bulan ini, ia akan berjaya melintasi Sirat pada Hari Qiamat ketika kaki-kaki tergelincir. Siapa yang meringankan beban pekerjaan pembantu dan pegawainya di bulan ini, ALLAH akan meringankan beban hisabNYA di Hari Qiamat. Barang siapa menahan keburukannya di bulan ini, ALLAH akan menahan murkaNYA pada hari ia berjumpa denganNYA. Barangsiapa yang memuliakan anak yatim di bulan ini, ALLAH akan memuliakannya pada hari ia berjumpa denganNYA. Barangsiapa menyambungkan tali persaudaraan (silaturrahim) di bulan ini ALLAH akan menghubungkan dia dengan kasih sayangNYA pada hari ia berjumpa denganNYA. Barangsiapa yang memutuskan silaturrahim di bulan ini, ALLAH akan memutuskan ia dengan kasih sayangNYA pada hari ia berjumpa denganNYA.

Barangsiapa melakukan solat sunat di bulan ini, ALLAH akan mencatat baginya kebebasan dari api neraka. Barangsiapa melakukan solat fardhu, baginya ganjaran 70 kali solat fardhu di bulan yang lain. Barangsiapa memperbanyak selawat kepadaku di bulan ini, ALLAH akan memberatkan timbangannya pada hari ketika timbangan meringan. Barangsiapa membaca satu ayat Al Quran di bulan ini, ganjarannya seperti mengkhatam al Quran pada bulan lainnya.

Wahai manusia! Sesungguhnya pintu-pintu syurga dibukakan bagimu di bulan Ramadhan ini. Maka mohonlah kepada TUHANmu agar pintu-pintu syurgaNYA tidak akan tertutup bagimu sampai bila-bila. Sesungguhnya pintu-pintu neraka tertutup bagimu di bulan Ramadhan ini. Maka mohonlah kepada TUHANmu agar pintu-pintu lubang neraka akan terus tertutup bagimu sampai bila-bila. Sesungguhnya syaitan-syaitan terbelenggu di bulan Ramadhan ini. Maka mohonlahlah kepada TUHANmu agar syaitan-syaitan tidak akan lagi menguasaimu sampai bila-bila.

Amirul mukminin ‘Ali bin Abi Thalib kw berkata : “Aku berdiri dan berkata : “Ya RasulALLAH! Apakah amal yang paling utama di bulan ini?” Jawab Nabi saw : “Ya Abal Hasan! Amal yang paling utama di bulan ini adalah menjaga diri dari apa yang diharamkan ALLAH SWT.”


6 Ramadhan 1431 , 16 ogos 2010


BBQ bersama ahli Teakwando MTSNA
23:24 | Author: ::. Wan Yaakub Wan Abdullah .::




We Kob MTSNA
14/8/2010
RAMADHAN Lubuk Pahala
20:56 | Author: ::. Wan Yaakub Wan Abdullah .::
Assalaimu'alaikum...

Selamat menyambut bulan Ramadhan yang penuh barakah dan mubarak..

Moga-moga dengan kedatangan ramahdan kali ini kita dapat tingkatkan nilai pahala pada diri kita ini..

Rebutlah peluang keemasan ini.. isilah masa kita dengan membaca,mentadarus al-Quran dan amalan-amalan sunat semaksimun mungkin..

Bulan Ramadhan bulan yang amat berkat, keberkatan itu hanya diberi kepada orang memburunya...

jom sama-sama memanafaat bulan ini dengan amalan soleh tahad tertinggi..

moga-moga Allah menerima solat kita, puasa kita dan amalan soleh kita,ameen..


"Ramadhan Yang Sama Natijah Yang berbeza"

wassalam

We Kob
MTSNA Kok Lanas

2 Ramadhan 1431 h bersamaan 12 Ogos 2010