Manhaj Usrah Sirah di Peringkat Remaja dan Muda-mudi.
00:22 | Author: ::. Wan Yaakub Wan Abdullah .::

Siri 1


KEHIDUPAN BAGINDA SEBELUM DIUTUSKAN SEBAGAI RASUL


1) Keturunan Baginda amat mulia :


-Diriwayatkan daripada al-Abbas r.a., daripada Rasulullah s.a.w., Baginda bersabda:

“Sesungguhnya Allah mencipta makhluk ini, lalu Dia menciptakan aku daripada sebaik-baik makhluk dan daripada sebaik-baik kelompok mereka (manusia). Dia juga menjadikan aku daripada sebaik-baik kumpulan di antara dua kumpulan (Arab dan bukan Arab). Kemudian Dia meneliti pemilihan kabilah-kabilah secara rapi, maka Dia menciptakan aku daripada sebaik-baik kabilah (Quraisy). Kemudian Dia meneliti pemilihan keluargakeluarga secara rapi, maka Dia menciptakan aku daripada sebaik-baik keluarga (Bani Hasyim). Sementara aku adalah sebaik-baik jiwa (sehingga dipilih menjadi rasul dan penutup segala nabi) dan sebaik-baik keluarga di kalangan mereka. (asal-usul keturunan ibu bapa dan nenek moyang Baginda tiada yang lahir daripada perzinaan, bahkan melalui pernikahan yang sah)”.

(Riwayat at-Tirmizi dengan sanad yang sahih).


- Quraisy telah mencela Baginda dengan banyak isu yang direka-reka tetapi bukan dalam isu keturunan.


2) Baginda membesar sebagai anak yatim. Bapa Baginda, Abdullah telah meninggal dunia ketika ibu Baginda baru mengandungkan Baginda dua bulan. Apabila Baginda berusia enam tahun, ibu Baginda, Aminah pula meninggal dunia. Oleh itu, semasa kecil Baginda s.a.w. telah merasai pahit maung tidak mendapat belaian kasih sayang ibu bapa. Selepas itu, Baginda telah dipelihara oleh datuk Baginda, Abdul Muttolib. Ketika berumur 8 tahun, datuk Baginda pula meninggal dunia. Dengan itu Baginda selanjutnya dipelihara oleh bapa saudara Baginda, Abu Tolib sehingga Baginda besar dan dewasa.


3) Pada awal remaja, Baginda s.a.w. mengembala kambing untuk penduduk Makkah dengan bayaran upah beberapa qirat (1/24 dinar).


4) Kemudian, apabila umur Baginda mencapai 25 tahun, Baginda berniaga untuk Khadijah binti Khuwailid. Baginda berniaga bermodalkan harta Khadijah dengan mendapat bayaran upah.


5) Baginda s.a.w. tidak menyertai rakan-rakan sebayanya di kalangan remaja Makkah dalam bersukaria dan berfoya-foya. Allah telah memelihara Baginda daripada terlibat dalam gejala tersebut. Semasa usia remajanya, Baginda terdengar suara nyanyian daripada salah sebuah rumah di Makkah sempena majlis perkahwinan. Baginda teringin menyaksikannya. Tetapi Allah menjadikan Baginda tertidur. Baginda hanya terjaga setelah matahari panas terik. Baginda juga tidak terlibat bersama kaumnya menyembah berhala, makan sembelihan untuk berhala, minum arak dan bermain judi. Baginda juga tidak pernah bercakap celupar dan berkata kesat.


6) Sejak Baginda mula mumayyiz, Baginda dikenali mempunyai akal yang matang dan pandangan yang bernas. Peristiwa perletakan Hajarul Aswad ke tempatnya di Kaabah menjadi bukti yang jelas terhadap perkara ini. Masa itu ka’bah dilanda banjir. . Baginda membentangkan kain selendangnya, kemudian mengambil Hajarul Aswad dan diletakkan ke atas kain itu. Baginda kemudiannya menyuruh setiap kabilah memegang hujung selendang. Apabila mereka mengangkatnya dan Hajarul Aswad itu tiba ke tempat letaknya, Baginda mengambil dan meletakkannya ke tempatnya dengan tangan Baginda. Mereka semua berpuashati.


7) Semasa remaja, Baginda s.a.w. dikenali sebagai seorang yang jujur dan amanah di kalangan kaumnya, Baginda terkenal dengan hubungan baik, menepati janji, perjalanan hidup mengikut landasan yang lurus dan reputasi baik. Ini menarik minat Khadijah untuk memberi tawaran kepada Baginda agar memperniagakan harta dagangannya melalui sebuah kafilah yang pergi ke kota Basra setiap tahun.


8) Beberapa tahun sebelum diutuskan sebagai Nabi, Allah telah menimbulkan rasa cinta

kepada Baginda s.a.w., untuk pergi ke Gua Hira (sebuah bukit yang berdekatan dengan Makkah dan terletak di barat laut Makkah). Baginda berkhalwah di dalamnya selama sebulan kerana memikirkan tanda-tanda kebesaran Allah dan kehebatan kekuasaan-Nya. Perkara ini berterusan sehingga datang wahyu dan turunnya al-Quran al-Karim kepada Baginda.


abu yusuff

MTSNA Kok Lanas

13/11/2009


p/s: inyaAllah, siri-siri yang seterusnya akan saya terbitkan.


rujukan: Durus Wa Ibar Karangan DR Abdul Nasih 'ilwan

|
This entry was posted on 00:22 and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

0 comments: