Kebenaran milik Allah, bukan di Barat bukan di Timur
Saya tidak terkejut apabila bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak
dibebaskan daripada penjara oleh Mahkamah Mesir. Inilah tujuan sebenar
rampasan kuasa yang dilakukan oleh tentera. Tidak perlu berlindung di
sebalik alasan ekonomi dan sebagainya. Padahal kezaliman Hosni
Mubarak selama 30 tahun menduduki takhta presiden satu fakta yang tidak
boleh dinafikan sama sekali. Barangkali, Sheikh Al-Azhar yang kuat
menyokong rampasan kuasa tentera pun sudah berpuas hati dengan
pembebasan Hosni Mubarak. Saya menghormati kelilmuan yang ada pada
Sheikh Al-Azhar, namun pendirian beliau dalam hal ini jelas salah
seterang cahaya matahari di siang hari. Pada saya, inilah ujian berat
yang sedang dihadapi oleh gerakan Islam khususnya di Mesir iaitu di saat
para pemimpin mereka disumbat ke dalam penjara manakala penjenayah
besar dilepas bebas.
Berpuas hatilah kerajaan Saudi yang kuat
menyokong rampasan kuasa tentera. Benarlah kenyataan bahawa kebenaran
itu milik Allah, tidak di Barat dan tidak Timur. Sekalipun penjaga dua
tanah suci dimuliakan Allah SWT dengan tugas ini, namun belum tentu
mereka memegang anak kunci kebenaran. Di samping menjaga dua tanah Suci,
Saudi jugalah yang menjaga telaga minyak yang menghilangkan haus
Amerika sekian lama. Inilah satu-satunya negara yang dinamakan sempena
nama pemerintahnya iaitu Bani Saud.
Justeru, janganlah Saudi
menyangka dengan sokongan mereka kepada tentera Mesir, mereka boleh
mempengaruhi seluruh umat Islam di dunia. Jika darah Abdullah bin Zubair
radhiallahuanhu pernah tertumpah akibat diperangi oleh Hajjaj bin Yusuf
di Tanah Mekah, apa peliknya darah umat Islam di negara lain tertumpah
angkara pemerintah Saudi hari ini? Jika kabilah Arab Jahiliyyah pun
pernah bertugas untuk menjaga Tanah Suci sebelum kedatangan Islam,
apakah jaminan penjaga Tanah Suci hari ini bebas dari melakukan
kesilapan?
Barangkali sedikit kasar kiasan saya, tetapi ia
belum apa-apa jika dibandingkan dengan sokongan Saudi terhadap tindakan
tentera Mesir yang telah membunuh ribuan rakyat yang tidak berdosa. Saya
menyeru kepada jiwa-jiwa yang telah dimuliakan Allah SWT dengan ilmu
agama, janganlah sesekali cenderung kepada kezaliman agar tidak disambar
oleh api neraka.
Hari ini Mesir ditinggalkan
'saudara-saudara'nya, bagaikan Nabi Yusuf yang pernah dibuang oleh
saudara-saudaranya di dalam telaga ribuan tahun yang lampau. Tetapi
Baginda akhirnya diselamatkan dan menjadi penguasa Mesir. Saya yakin
Insya-Allah, Mesir akan keluar dari telaga kezaliman para tentera dan
akan bangkit semula sebagai sebuah bumi yang subur dengan gerakan Islam.
Pesan saya kepada para hakim yang membebaskan Mubarak sebagaimana pesan ahli sihir yang beriman kepada Firaun :
فَاقْضِ مَا أَنْتَ قَاضٍ إِنَّمَا تَقْضِي هَذِهِ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا
yang bermaksud : Berhukumlah kamu selagi mana kamu boleh berhukum,
sesungguhnya kamu hanya mampu berhukum di dalam kehidupan dunia ini
sahaja... - Surah Toha, ayat 72
TG Nik Abdul Aziz Nik Mat,
20 Ogs 2013
Mursyidul Am Parti Islam Semalaysia (PAS)
Kebenaran milik Allah, bukan di Barat bukan di Timur
08:34
| Author:
::. Wan Yaakub Wan Abdullah .::
|
This entry was posted on 08:34 and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.
0 comments: