KERAJAAN PERPADUAN - KOMEN TUAN GURU MURSYIDUL AM
05:59 | Author: ::. Wan Yaakub Wan Abdullah .::
TEMERLOH – PAS akan menyerahkan keputusan untuk melaksanakan kerajaan perpaduan bersama UMNO kepada Jawatankuasa Pas Pusat yang akan bersidang Khamis ini.

Mursyidul Am Pas, Datuk Abdul Nik Aziz Nik Mat berkata, isu kerajaan perpaduan yang ditimbulkan sebelum ini bukan dasar Pas sebaliknya hanya lontaran idea daripada ahli dan perlu perbincangan serta diperhalusi jawatankuasa terbabit.

Menurutnya, beliau secara peribadi tegas dengan keputusan untuk tidak akan mengadakan sebarang rundingan atau menubuhkan kerajaan perpaduan bersama UMNO.

“Saya tidak mahu komen lagi isu ini, biar jawatankuasa terbabit putuskan. Satu sidang media akan dibuat nanti,” katanya kepada media selepas merasmikan bangunan Badan Perhubungan Pas Negeri Pahang di Jalan Bahaman 4, di sini, semalam.

Turut hadir, Naib Presiden Pas merangkap Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Ketua Pemuda Pas Pusat Nasaruddin Hassan Tantawi, dan Pengerusi Perhubungan PKR Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman.

Ditanya adakah Pas akan mendapatkan pandangan PKR dan DAP mengenai kerajaan perpaduan Nik Aziz berkata, semua perkara itu adalah urusan pentadbiran tertinggi parti.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Nik Aziz menyerahkan kepada Jawatankuasa Pas Kawasan jika benar terdapat 10 calon Pas yang menawarkan diri untuk bertanding pada pilihan raya kecil Manek Urai. Menurutnya, calon yang akan diletakkan di kubu kuat Pas itu belum diputuskan secara rasmi.

Mengenai usul mengharamkan pertubuhan Sister In Islam (SIS), Nik Abdul Aziz mahu kerajaan perlu menubuhkan jawatankuasa untuk menyiasat pertubuhan terbabit.

sumber: http://www.tuanibrahim.blogspot.com/
|
This entry was posted on 05:59 and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

0 comments: