SIAPAKAH YANG BERHAK PUTUSKAN KEPUTUSAN?
02:40 | Author: ::. Wan Yaakub Wan Abdullah .::

SIAPAKAH YANG BERHAK PUTUSKAN KEPUTUSAN? (Siri 1)

Beberapa hari kebelakangan ini, saya lebih cenderung untuk menulis tentang halal dan haram yang semakin diabaikan, bahkan ditinggalkan. Namun, sempena Muktamar kali ini, saya lebih tertarik untuk memperlihatkan kaedah atau prosedur di dalam Islam, untuk menyelesaikan perkara ini. Hakikat ini telah pun dijelaskan oleh Dr Abdul Karim Zaidan di dalam bukunya, Usul Dakwah.

Beliau menyebut di dalam Bab Syura, tentang hakikat pertelagahan atau percanggahan pandangan ini. Ia terbahagi kepada beberapa persoalan, atau penjelasan :

- Siapakah yang berhak tentukan keputusan? Adakah syura atau presiden?
- Bagaimanakah ahli PAS dapat mengemukakan pandangan?
- Adakah keputusan ahli wajib diterima?

Persoalan pertama, ialah orang yang berhak membuat keputusan. Dr Abdul Karim Zaidan menerangkan bahawa di dalam meletakkan keputusan orang yang lebih berhak, maka beliau menggariskan beberapa etika. Etika tersebut ialah, Presiden berhak mengumpulkan syura, dan mendengar pandangan semua. Sekiranya Presiden memilih untuk mengikut keputusan syura, maka itu adalah haknya.

Bagaimanakah pula sekiranya keputusan Presiden bercanggah dengan Syura? Sekiranya bercanggah, Presiden berhak membuat pilihan, samada ingin mengikut keputusan Syura, atau masih berpegang dengan keputusan sendiri. Presiden mempunyai kuasa untuk mengekalkan keputusannya, walaupun bercanggah dengan syura. Inilah sepertimana yang disebut. Sekiranya saya silap, tegurlah dengan baik.

Ya, Presiden berhak membuat keputusan sendiri, walaupun ia bercanggah dengan keputusan mesyuarat sekalipun. Maka, terdapat persoalan yang bertanya. Sekiranya begitu, maka sia-sialah mesyuarat yang diadakan. Penjelasan perkara ini ialah, mesyuarat diadakan untuk membantu Presiden dalam membuat keputusan. Tetapi Presiden mempunyai kuasa mutlak untuk memutuskan mana-mana keputusan yang dipilih.

Bahkan, Presiden juga mempunyai hak untuk memilih keputusan yang minoriti dalam mesyuarat atau dalam muktamar. Sekiranya begitu, maka, apakah kepentingan muktamar atau mesyuarat. Sepertimana yang telah disebut, ia adalah bertujuan membantu Presiden untuk membuat keputusan, tidak lebih dari itu sehingga boleh melawan keputusan Presiden.

Persoalan kedua, bagaimanakah ahli PAS dapat mengemukakan pandangan? Ya, mana-mana ahli PAS dibenarkan memberikan pandangan. Tetapi, sekiranya diberi ruang oleh Presiden. Sekiranya tidak, maka ahli tidak dibenarkan mengemukakan pandangan melalui saluran-saluran yang dilarang.

Ahli PAS, dibenarkan memberi pandangan sekiranya dibenarkan oleh Presiden. Contohnya seperti di dalam Muktamar PAS, dan sebagainya. Sekiranya tidak, ahli sama sekali tidak dibenarkan melalui mana-mana saluran yang dilarang. Contohnya, Presiden berhak untuk melarang ahli PAS daripada mengadakan sidang media secara peribadi, untuk mengemukakan pandangan peribadi mereka sewenang-wenangnya.

Minta maaf, saya bukanlah seorang yang taksub kepada Presiden, tetapi saya cuma menyampaikan apa yang telah disebut oleh ulama’ kita di dalam karangan mereka. Ikuti sambungan akan datang.

..............

SIAPAKAH YANG BERHAK PUTUSKAN KEPUTUSAN? (Siri 2)

Sebelum ini telah menyebut tentang pandangan yang dibenarkan kepada ahli untuk mengemukakannya. Namun, di sana, terdapat beberapa panduan untuk mengemukakan pandangan, sekiranya dibenarkan. Ia akan dijelaskan selepas ini. Hakikatnya Presiden mempunyai kuasa mutlak untuk menyusun dan mengatur segalanya.

Persoalan ketiga, adakah menjadi kewajipan kepada presiden untuk menerima keputusan ahli? Sepertimana yang telah disebutkan sebelum ini, Presiden berhak menerima atau tidak keputusan Syura, maka, lebih-lebih lagi keputusan ahli yang tidak termasuk dalam Syura. Ya, sepertimana yang telah diterangkan di dalam Usul Dakwah juga, pandangan ahli tidak wajib bagi Presiden untuk mendengarnya atau menerimanya.

Ahli berhak memberi pandangan, tetapi tidak berhak memutuskan. Bahkan Dr Abdul Karim Zaidan juga menyebut bahawa terdapat 3 panduan kepada ahli sekiranya pandangan mereka tidak diterima :

Pertama :

Orang yang memberi pandangan hendaklah mempunyai niat yang betul untuk memberi nasihat atau menegur pimpinan. Diharamkan bagi ahli untuk mengemukakan pandangan bertujuan menjatuhkan pimpinan, mengaibkan, memburuk-burukkan dan sebagainya, yang dikatakan sebagai tujuan yang diharamkan.

Kedua :

Orang yang mengemukakan pandangan hendaklah seorang yang pakar dan mahir tentang apa yang dikemukakan. Bahkan diharamkan juga mengingkari keputusan yang bersifat ijtihad (keputusan yang tiada dalil yang memutuskannya). Selagi mana keputusan tersebut bersifat ijtihad, maka ahli wajib mengikutnya walaupun bercanggah dengan keputusan mijoriti.

Ketiga :

Diharamkan juga kepada individu yang mengemukakan pandangan, daripada mencetuskan fitnah atau pandangan yang berbeza daripada keputusan tersebut, apabila pandangannya tidak diterima.

Kesimpulan di sini, saya tidak berniat untuk menyalahkan sesiapa, bahkan saya mengucapkan tahniah kepada Husam kerana berani untuk memberi pandangan. Bahkan saya juga bersetuju dengan tindakan Presiden di dalam masalah ini. Bahkan, kita juga diharamkan menimbulkan fitnah untuk memburuk-burukkan sesiapa. Kita langsung tidak berhak di dalam persoalan ini, kerana kita bukanlah ahli di dalam bidang tersebut.

Semoga dengan artikel ringkas ini tetapi penting, dapat dimanfaatkan oleh semua. Saya tidak berniat untuk menjatuhkan sesiapa atau menaikkan sesiapa, tetapi ia adalah garis panduang yang telah disebut oleh ulama’ kita. Anda juga boleh merujuk dengan buku-buku yang lain seperti Ahkam as Sultaniah, Imam al Mawardi, Fiqh al Khilafah dan sebagainya sebagai panduan.

Salam Perjuangan

Dr Fikrah
Sumber:http://drfikrah.blogspot.com
|
This entry was posted on 02:40 and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

0 comments: